Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Tuesday, October 28, 2008

Menjana Kesungguhan Pekerja

  Mohd Shubhi       Tuesday, October 28, 2008
Selama berkecimpung di dalam dunia perniagaan salah satu perkara yang saya pelajari ialah kita tidak dapat membentuk sebuah syarikat yang berjaya tanpa mempunyai sekumpulan pekerja yang benar-benar serius, berdisiplin dan bersungguh-sungguh melaksanakan tangungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka.

Pada peringkat permulaan usahawan merupakan individu penting yang akan melakukan hampir semua pekerjaan tanpa mengenal penat. Segala tangungjawab dilaksanakan dengan penuh perhatian dan penuh semangat dipacu oleh hasrat ingin melihat syarikatnya membesar dan berjaya.

Kebiasaannya jika dilaksanakan dengan semurna dan kena masanya serta sesuai dengan jenis perniagaannya, perniagaan itu akan mula menampakkan hasil dan maju setapak lagi ke hadapan di mana ia mula memerlukan pembantu atau sekumpulan pekerja untuk melaksanakan tugas masing-masing.

Proses pengasingan kerja yang spesifik dan tersusun tidak dapat dielakkan oleh seseorang usahawan jika ia mahu melihat syarikatnya membesar. Adalah mustahil untuk seseorang usahawan itu meneruskan segala kerja berseorangan apabila syarikat ingin menambahkan hasil jualannya dan membesarkan perniagaannya.

Sampai di peringkat ini timbul satu cabaran yang amat mencabar untuk diselesaikan, iaitu memastikan orang yang kita pilih untuk melaksanakan sesuatu tugas itu sesuai dan mampu melaksanakan tugas yang dipikul.

Sebagaimana yang saya alami sendiri para pekerja yang kita ambil kebanyakannya tidak dapat melaksanakan tugas sebagaimana yang kita harapkan. Jika mengharapkan tugas dilaksanakan 100%, hasil yang kita perolehi biasanya hanyalah 30% atau kurang.

Pekerja syarikat dibelenggu oleh masalah disiplin, tidak bersungguh dan kurang daya kreativiti. Bukan saya sahaja yang mengalami masalah ini, malah hampir kesemua rakan yang berniaga mengalami masalah yang sama.

Peratus keluar masuk pekerja baru amat tinggi. Namun melalui pemerhatian saya, rakan niaga dari kaum berbangsa cina agak lebih baik dalam merekrut dan menghasilkan pekerja yang berdedikasi berbanding usahawan melayu yang sentiasa menghadapi krisis pekerja malas dan kurang daya saing yang tinggi.

Ini membawa saya untuk mencari punca kenapa pekerja melayu yang bekerja di syarikat melayu dilanda sindrom kurang disiplin dan kurang kesungguhan. Untuk mengatasi masalah tersebut saya mencuba menyelesaikannya dengan menawarkan mereka yang berpengalaman bekerja di syarikat cina atau multi nasional dan mempunyai rekod pekerjaan yang cemerlang untuk bekerja dengan syarikat saya.

Namun apabila mereka bekerja di syarikat melayu atau bumiputera sikap cemerlang mereka mula terhakis sedikit demi sedikit. Perkara yang paling mula sekali terhakis adalah disiplin datang kerja. Mereka akan mula datang kerja tidak pada waktunya dan mula pandai cuti sakit atau ponteng. Hingga kadangkala tidak hadir tak bersebab. Walaupun gaji mereka akan dipotong disebabkan itu, mereka tak ambil kisah.

Saya ambil kesimpulan tentu bukan silap pekerja tersebut kerana terbukti sebelum ini mereka mampu menjadi pekerja yang baik.

Langkah yang kedua saya cuba membuat lawatan ke syarikat rakan niaga yang lain yang terdiri daripada kaum cina. Hasil dari pergaulan dengan mereka dan dari pemerhatian tentang bagaimana mereka melaksanakan perniagaan mereka saya membuat satu kesimpulan.

Di antara punca kepada semua gejala itu adalah berhubung rapat dengan tahap keseriusan kita dalam menjalankan perniagaan kita.

Serius dalam perniagaan harus ada dalam sikap kita menjalankan perniagaan kita. Bukan hanya dari cara kita berfikir dan cara kita berkomunikasi sahaja, malah kita perlu menzahirkan segala bukti kesungguhan kita dengan cara kita bertutur, cara kita membentuk sistem pengurusan, dan juga cara kita menyediakan segala prasarana termasuklah kelengkapan pejabat, keadaan pejabat, hiasan pejabat, rekabentuk pejabat, uniform pekerja, susunan organisasi atau status pekerjaan dan segala yang lain dengan penuh teliti.

Saya melihat selama ini saya hanya menterjemahkan kesungguhan saya dalam disiplin diri saya dan komunikasi saya sahaja. Saya kurang ambil perhatian perkara material seperti pejabat yang hebat, kelengkapan bekerja yang cukup dan terkini dan lain-lain prasarana yang dapat membantu para pekerja berfungsi dengan baik.

Rupa-rupanya ini hanya memperlihatkan pada pekerja saya bahawa saya tidak serius. Dan sikap tersebut menghakis kesungguhan mereka hari demi hari kerana setiap hari itulah yang mereka lihat setiap kali datang masuk ke pejabat hingga ke satu tahap mereka rasakan tidak perlu ke pejabat.

Ini membuatkan secara tidak sedar mereka menanam anggapan bahawa pihak pengurusan tidak serius untuk membangunkan perniagaan. Mereka berangapan yang pengurusan hanya mahu mengaut keuntungan untuk kekayaan sendiri dan tidak memikirkan untuk membina karier yang dapat menjamin kejayaan para pekerjanya.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Menjana Kesungguhan Pekerja

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !