Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Wednesday, July 14, 2010

Melarikan Diri Ke Taman Negara Kuala Tahan

  Mohd Shubhi       Wednesday, July 14, 2010
Rasa serabut dengan urusan kerja di tambah pula dengan seribu satu macam masalah dan cabaran membuatkan saya dan 2 orang kawan lagi lari meninggalkan kesibukan kota untuk merehatkan minda di dalam suasana kampung serta hutan hujung minggu baru-baru ini.

Kami bertolak lewat pada hari sabtu lebih kurang pukul 4 petang menuju ke Jerantut dengan sebuah pacuan 4 roda. Sampai di pertengahan lebuh raya tayar belakang kenderaan yang kami naiki meletup. Nasib baik sempat lajak ke tepi jalan masuk hentian rehat, jadi taklah bahaya sangat kerja menukar tayar yang bocor itu.

Kami sampai di Jeti Kuala Sg Lembing untuk masuk ke dalam hutan dengan menaiki bot pada pukul 9.30 malam. Tak ada orang lagi di situ, cuma ada kedai makan sebuah yang kami singgah untuk makan. Tuan punya kedai memberitahu bahawa masih belum ada lagi orang buat kerja naik bot malam-malam buta untuk ke Taman Negara setakat ini. Bot paling awal bermula pukul 11 pagi. Kami hanya tertawa dengan sindiran kakak itu.

Selesai makan kami meneruskan juga hasrat untuk masuk hutan melalui jalan darat dengan berpatah balik ke Kuala Tahan menaiki kenderaan kami. Tak berapa ada kereta yang melalui jalan masuk ke sana. Kami sampai ke Kampung Kuala tahan hampir pukul 11 malam.

Daripada kesunyian dan hening suasana malam sepanjang perjalanan tiba-tiba suasana berubah menjadi amat meriah sesampainya di Kampung tersebut dengan pelancung yang ramai di sekitar kawasan Kampung Kuala Tahan. Kebanyakan pengunjung adalah terdiri daripada pelancong luar negara. Banyak resort di situ dari sewa melebihi RM400 satu malam sehingga semurah RM30 satu malam. Kesunyian kaki hutan dicemari oleh musik bingit di sebuah resort yang kami singgah. Kami meninggalkan resort yang bising itu ke tempat lain.

Untuk mendapatkan maklumat kami singgah minum di sebuah kedai kepunyaan orang tempatan di tepi jalan utama Kampung Kuala Tahan. Nampaknya di situ juga ada set karoke seperti mana di kebanyakan kedai atau restoran di situ. Mungkin mereka rasa kesunyian lalu mencari alternatif lain dengan melalak berkaroke.

Nama tuan punya restoran itu Jasmi, orangnya masih muda dan pernah kerja di bandar selama beberapa tahun, tapi membuat keputusan untuk balik kampung dan berniaga kecil-kecilan di kampungnya. Dari Jasmi kami mendapat tahu terdapat seramai 5000 orang penduduk di kampung itu. Aktiviti pelancongan di situ memberikan banyak peluang mencari pendapatan mereka di sana.

Banyak maklumat yang kami perolehi bagaimana untuk menghabiskan masa kami di situ dari Jasmi, jadi memudahkan kami untuk mengatur aktiviti kami keesokan harinya. Selesai minum kami menuju ke sebuah resort murah kepunyaan penduduk tempatan yang terletak betul-betul di atas bukit bersebelahan dengan jeti. Harga resort 3 katil yang kami sewa hanya RM60 untuk satu malam. Jam menunjukkan pukul 12 lebih tengah malam. Kami mandi untuk segarkan badan dan menunaikan solat insya dan magrib lalu terus pengsan menanti esok pagi.

Keesokannya selesai solat subuh saya keluar sendirian untuk meninjau kawasan kampung di sekitar sambil menghirup udara segar. Kedinginan amat tarasa di kampung tersebut, kicauan burung serta lompatan tupai di dahan-dahan pokok durian mencari makan amat mendamaikan jiwa, teringat saya sewaktu kecil merayau sekeliling kampung setiap pagi di musim buah.

Namun kedamaian sedikit tercalar melihatkan keadaan kebersihan kampung di sekitar kawasan jeti menuju ke hutan. Terdapat sebuah bangunan JKK yang terbiar dan sebuah dewan masyarakat yang tidak terurus bersebelahan masjid di situ. Dari keadaan dewan itu kita boleh mengjangkakan bahawa JKK kampung tidak berfungsi.

Saya merasa terkilan dengan keadaan tersebut yang memberikan gambaran yang buruk kepada semua para pelancong yang datang, sedangkan kawasan tersebut sepatutnya bertaraf dunia dari segi pengurusannya kerana ia merupakan pintu masuk para pelancong yang gemarkan suasana kehijauan dan alam semula jadi.

Banyak projek-projek yang masih tak siap memburukan lagi permandangan, kenapa baru sekarang mahu dibangunkan dan kenapa tidak di uruskan dengan lebih teliti seperti menutup kawasan binaan bagi mengelakkan kecacatan pemandangan dari orang ramai?.

Warga pimpinan kampung tersebut perlu mengubah minda mereka bagi memajukan lagi industri pelancongan di situ. Begitu juga kerajaan negeri serta kerajaan pusat terutamanya kementerian pelancongan perlu memantau situasi pusat kunjungan para pelancong. Saya yakin pengurusan yang lebih baik dapat menambahkan lagi jumlah kunjungan pelancong seterusnya menambahkan hasil pendapatan penduduk setempat.

Disimpang utama kampung kelihatan 3 buah bas persiaran sedang menunggu untuk mengambil pelancong keluar. semua pelancong dari luar negara sedang beratur sambil menggalas beg kembara yang besar-besar, nampak kepuasan di muka masing-masing. Ramai yang dah nak pulang kerana hari itu adalah hari ahad, mungkin mereka sudah beberapa hari di situ. Saya memuji sikap serta disiplin mereka yang beratur membuat satu barisan dengan bersabar menunggu giliran masing-masing untuk naik.

Di sebelah jalan terdapat beberapa gerai orang kampung berniaga makanan untuk bersarapan. satu lagi pemandangan yang cacat kerana mereka mamacak gerai atau stall di atas sebidang tanah yang di ratakan dengan tanah merah. Nasib baik tidak hujan, kalau tidak pasti lebih kotor di situ.

Saya membeli 3 bungkus nasi lemak, beberapa ketul kueh dan 3 bungkus teh tarik. Harga amat berpatutan iaitu 3 biji seringgit untuk kueh dan nasi lemak berlauk ayam hanya sebungkus 2 ringgit. Nampaknya orang kampung tidak mengambil kesempatan untuk untung besar.

Pulang ke chalet semula untuk bersarapan dengan 2 orang lagi kawan saya. Kami bersarapan bersama dan bersiap untuk meneroka sebanyak aktiviti yang boleh dalam masa sehari itu. Destinasi pertama kami ialah menuju ke jeti untuk menaiki bot menyeberangi sungai ke sebelah sana untuk masuk ke taman negara. Bayaran sebanyak RM1 dikenakan kepada setiap orang yang mahu menggunakan perkhidmatan menyeberang.

Sampai di sebelah terpampang notis yang memberitahu denda sebanyak RM10,000 kepada mereka yang mengambil gambar serta masuk ke hutan tanpa terlebih dahulu mendaftarkan diri kepada renjer. Kami pergi mendaftarkan diri dan dikenakan bayaran sebanyak RM8 untuk 3 orang berserta satu kamera. Kami mendaftar untuk satu hari di sana.

Aktiviti pertama kami ialah menaiki canopy, iaitu satu titi gantung melintasi pucuk-pucuk balak. Dari pejabat renjer masuk ke dalam mengambil masa lebih 1 jam meredah jalan hutan. Satu riadah yang baik bagi mereka yang gemarkan bersenam. Ramai orang yang keluar masuk di sepanjang jalan hutan itu. Setiap orang pasti membawa kamera untuk merakamkan segala flora dan fauna di dalam hutan.

Kami berselisih dengan satu keluarga orang asli yang mengambil jalan yang sama untuk ke kampung mereka. Dari emak serta anak mereka yang masih kecil, semuanya berjalan dengan amat pantas. Saya merakamkan gambar mereka tetapi kekurangan cahaya menyebabkan shutter speed menjadi terlalu lama dan gambar objek bergerak menjadi kabur.

Lebih dari satu jam berjalan kali, kami sampai pusat berkumpul menaiki titi gantung. Bayaran sebanyak RM5 seorang dikenakan kepada setiap pengunjung yang mahu menaiki titi gantung itu. Bagi mereka yang gayat memang menakutkan dengan hayunan titi tersebut apalagi jika kita memandang kebawah. Barbagai imaginasi buruk boleh dicipta kedalam minda dengan suasana seperti itu. Kesempatan diambil untuk merakamkan bebrapa keping gambar kenangan.

Selesai menaiki titi gantung kami mengambil jalan yang sama untuk keluar semula ke pusat pendaftaran renjer yang mengambil masa lebih dari satu jam lagi. Sepanjang jalan saya hanya mengingati makanan tengahhari, banyak tenaga digunakan membuatkan perut terasa amat lapar sekali. Di pintu masuk ada sebuah resort serta restoran etapi saya lihat ia lebih eksklusif dan hanya untuk pelancong yang agak berada.

Kami berpatah balik ke seberang sungai untuk mencari kedai makan biasa yang lebih murah. Sambil menaiki bot kecil kami bersembang dengan pemandu bot dan bertanyakan kedai yang ada menyediakan nasi campur ala kampung, dia terus membawa ke kedai kawannya di hujung jeti di seberang sungai.

Tuan punya restoran berasal dari Pulau Pinang datang ke Kuala Tahan bekerja sebagai renjer dengan jabatan perhutanan, orang kampung panggilnya Faizal Black. Dia berkahwin dengan orang tempatan di situ dan membuka restoran yang dijaga oleh isterinya. Kami makan dengan amat berselera, saya berikan 4 bintang kepada keenakan masakannya, mungkin setakat ini ia merupakan makan tengahhari yang paling enak saya rasa buat tahun ini.

Kesempatan berbual dengan Faizal Black membolehkan kami mendapatkan bantuannya bagi meneruskan aktiviti kami seterusnya iaitu mengharung jeram deras dengan menggunakan bot. Aktiviti tersebut mereka namakan Rapid Shooting.

Faizal menelefon kawannya untuk datang datang mengambil kami dari restoran tepi sungai itu dengan sebuah bot. Kami terus bertolak mengharungi sungai masuk ke dalam melalui jeram yang deras. Sebelum menaiki bot Faizal sibuk menyuruh kami mendapatkan plastik bagi membungkus semua barangan sensitif kami dari di kenai air.

Kami hanya menurut tanpa benar-benar faham kenapa. Setelah mengharungi jeran deras itu, dan setelah habis basah kuyup baru kami faham kenapa. Sampai di hujung sungai kami minta berhenti untuk mandi, kebetulan pemandu bot masih belum makan makanan yang di belinya di kedai Faizal tadi. Jadi sementara dia makan kami berendam dalam sungai yang keroh itu.

Dalam perjalanan berpatah balik kawan Faizal bertanya samada kami mahu singgah di perkampungan orang asli melihatkan aktiviti mereka. Sampai di satu kawasan orang asli kami singgah naik ke darat. kebetulan terdapat satu kumpulan pelancong luar negara bersama pemandu pelancong mereka juga melawat kawasan orang asli yang sama. Hampir semua pelancong Mat Saleh itu berpakaian seksi dan mengiurkan, tambahan pula mereka semua muda-muda dan cantik. Kami terpaksa menjamu mata dan tidak pasti samada kami melawat orang asli atau melawat Mat Saleh.

Saya lihat terdapat beberapa buah perahu yang diperbuat daripada kayu balak dengan di tebuk sehingga menjadi bentuk perahu. Semuanya kepunyaan orang asli di situ dan kelihatan perahu tersebut digunakan oleh anak-anak orang asli dengan girang dan bebas. Kalau anak kita bermain di sungai sebegitu tentu jenuh orang tua akan melarangnya.

Keadaan penempatan orang asli amat daif sekali di mata orang pekan seperti saya. Dari segi kesihatan tubuh badan mereka nampak mantap dan tidak berpenyakit, cuma di kalangan warga tua mereka ada banyak kesan seperti penyakit kulit yang berupa panau atau kurap. Saya tertanya-tanya kenapa mereka tidak sama-sama membuat sesuatu bagi menambah pendapatan mereka dengan kehadiran ramai pengunjung di sana. Mungkin mereka tidak memerlukan semua itu.

Selesai melihat aktiviti orang asli kami meninggalkan orang asli yang masih lagi bersam-sama para pelancong Mat Saleh untuk kembali ke jeti. Pemandu bot barjanji untuk membawa kami mandi di Lata Bekoh selepas itu. kami terpaksa menunggunya sebentar bagi dia menguruskan permit bot dan mendapatkan bot yang dibenarkan bagi memasuki sungai ke lata Bekoh.

Pukul 4 tepat dia datang membawa bot yang kepalanya ditandakan dengan warna biru. Dia memberitahu hanya bot bertanda seperti itu yang dibenarkan masuk ke sungai ke Lata bekoh. kami di larang menangkap ikan di sungai tersebut dengan apa cara sekalipun.

Oleh kerana waktu dah agak lewat, ketika kami masuk ramai pelancong yang sedang keluar. Oleh kerana kami dah agak mesra dengan pemandu bot itu, Zul yang juga seorang renjer bekerja dengan jabatan hutan, kami merasa yakin dan selamat.

Setelah menyusur sungai jernih berwarna coklat selama lebih dari setengah jam, kami sampai di tempat yang di cadangkan oleh Zul. Terdapat sebuah pelantar di kawasan itu. Zul pergi mengambil makanan ikan seperti dedak dan mula menaburkan ke sungai. Banyak ikan yang timbul melompat menagbil makanan yang ditabur, rasa geram seperti mahu tangkap.

Kami terus terjun mandi di situ sambil Zul memesan agar jangan ke tengah sungai, dalam dan ramai yang menimpa kemalangan katanya. Setiap kali saya berenang ke tangah dia akan berpesan "abang jangan pergi dalam sangat". Ketika mandi Zul menaburkan makanan ikan di sekeliling kami yang berada dalam air, ikan lansung tak takut untuk datang mengelilingi kami, apabila mahu ditangkat mereka akan cepat meloloskan diri.

Setelah puas mandi dan merakamkan gambar, kami bersiap untuk pulan semula ke jeti dan ke chalet sewaan kami. Masa dah melebihi had yang sepatutnya untuk kami keluar dari chalet tersebut.

Perjalanan pulang ke jeti di lalui dengan perlahan sambil kami menikmati suasana petang yang indah sekali sepanjang perjalanan. Tak pernah saya rasa sepuas ini sebelum ini, satu pengalaman yang cukup menarik yang perlu dikongsi oleh semua rakyat Malaysia.

Tamat sudah perjalanan kami melarikan diri dari kesibukan kota. Kami perlu segera pulang dengan membawa satu tenaga baru bagi meneruskan kehidupan yang penuh mencabar di Kota Raya. Taman Negara !, insyallah kami akan sampai lagi di sini.

Nota: Saya akan tampalkan koleksi gambar di sana dalam posting bergambar selepas ini.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Melarikan Diri Ke Taman Negara Kuala Tahan

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !