Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Friday, December 13, 2013

Lokasi kuruskan badan menarik di Bukit Wawasan

  Mohd Shubhi       Friday, December 13, 2013
bersenam kuruskan badan


Lokasi kuruskan badan menarik ini sebenarnya adalah lokasi yang sama untuk pergi ke tempat mandi menarik di Puchong. Anda boleh baca di sini untuk mendapatkan gambaran bagaimana mahu pergi ke sana.

Kebiasaannya mereka yang sering ke Bukit Wawasan terdiri daripada mereka yang tinggal di seluruh jajahan Majlis Perbandaran Subang Jaya. Ianya termasuklah mereka yang tinggal di persekitaran Puchong dan juga Seri Kembangan.

Jumlah penduduk yang tinggal di sekitar kawasan yang saya sebutkan itu sahaja sudah cukup untuk membuatkan seluruh kawasan Bukit Wawasan menjadi landai dan rata jika kesemuanya serbu ke sana setiap pagi atau petang.

bersenam kuruskan badan


Orang gemuk yang nak kuruskan badan elok ke Bukit Wawasan

Ketika pendakian kami tempoh hari, seorang remaja yang agak berlebihan tahap berat badannya turut sama menyertai ekspedisi. Kebetulan saya sentiasa berada di belakang kumpulan untuk menikmati persekitaran dan mengambil gambar, maka saya sentiasa berada dengan remaja tersebut.

Ketika perjalanan awal mendaki bukit wawasan remaja ini mula ketinggalan. Berat badan yang dibawanya bersama ternyata membuatkan dia rasa macam nak pengsan. Dia kepenatan dan tercungap-cungap melawan rasa serik dan berusaha untuk menamatkan juga perjalanan mendaki bukit wawasan tersebut.

Sebenarnya, remaja ini menjadi penyelamat untuk saya kerana boleh memberikan alasan lambat kerana terpaksa mengiringi dan memberikan semangat pada remaja itu. Kalau saya turut sama dengan kumpulan yang berada di depan, mungkin saya juga akan tercungap-cungap keletihan. Mereka yang ada di hadapan semuanya bergerak laju macam orang asli merayau dalam hutan.

kuruskan badan


Kesian dan kagum juga saya dengan remaja itu. Dia dengan kasutnya yang mula terkeluar tapak dan terpaksa berhenti sekejap-sekejap untuk tarik seluar naik ke atas tetap berusaha menghabiskan perjalanan. Sampai separuh jalan saya terpaksa membawa beg galasnya yang diisi dengan pakaian tukar dan sebakul besar kuih karipap. Remaja itu membawa karipap yang banyak yangs aya rasa disediakan oleh ibunya sebagai bekalan.

Melihat dia keletihan saya boleh bayangkan bagaimana peritnya rasa mendaki bukit jika anda gemuk. Tambahan pula jika anda seorang yang tidak aktif bersukan, anda tidak akan tahu menggunakan keseluruhan gerak anggota badan untuk mengurangkan rasa sengal dan lenguh anggota peha.

Untuk mendaki bukit seperti itu, kita perlu pandai menggunakan sendi kaki dari bawah sampai atas bagi membantu lonjakan ke atas dan tidak sepatutnya hanya menggunakan lonjakan lutut dan otot peha sahaja. Jika tidak otot paha akan kelesuan dan membuatkan pendakian bertukar menjadi mimpi ngeri.

kuruskan badan


Kumpulan anak dara mendaki Bukit Wawasan

Ketika mula masuk dalam hutan, kelihatan sekumpulan anak-anak dara perempuan turut sama beriadah menjaga badan. Mereka siap berpakain sukan yang sesuai dan mula mendaki masuk dengan laju.

Ketika separuh lebih jalan mendaki, saya berselisih dengan mereka yang sudahpun berpatah balik untuk turun. memang mereka tangkas dan saya respect sama mereka. Rasanya anak-anak dara itu elok dijadikan isteri kalau kita mahukan isteri yang kuat dan cergas.

Tak ramai perempuan melayu yang mendaki di Bukit Wawasan itu terutamanya mereka yang datang bersama suami. Ada juga pasangan suami isteri yang turut sama membawa anak-anak mendaki Bukit Wawasan. Mereka semuanya sudah pasti tidak gemuk dan beruntung suaminya kerana punyai isteri yang pandai jaga badan.

Orang Cina berlumba-lumba naik Bukit Wawasan

Sebagaimana yang telah saya nyatakan sebelum ini, majoriti yang beriadah panjat Bukit Wawasan terdiri daripada orang Cina. Mereka datang dengan berkumpulan atau bersama dengan keluarga masing-masing.

Sama juga ketika saya memanjat Bukit Mertajam di Pulau Pinang tempoh hari, majoritinya adalah dari kalangan orang Cina juga. Mereka bersungguh-sungguh beriadah dan mengeluarkan peluh di mana saja tersedianya tempat beriadah.

Dari segi disiplin jaga badan saya hairan dengan tabiat orang Cina ini, mereka meninggalkan kita orang Melayu dalam aktiviti penjagaan kesihatan. Malah mereka meninggalkan kita dalam hampir kesemua aktiviti termasuklah ekonomi dan juga pendidikan. Apakah aktiviti beriadah mempunyai kaitan dengan kehebatan mereka dalam lapangan lain?, anda fikirkanlah sendiri.

Apa yang pasti, saya tak bertemu dengan orang India dalam mana-mana aktiviti panjat Bukit. Samada di Bukit Wawasan maupun di Bukit Mertajam sedangkan Puchong merupakan salah satu kawasan yang agak ramai penduduk India. Begitu juga di Bukit Mertajam.

Mungkin dengan hanya melihat aktiviti lasak atau beriadah menjaga kesihatan ini, sudah membolehkan kita membuat andaian terhadap aktiviti atau lapangan lain seperti pendidikan dan juga ekonomi.

Ayuh! luangkan masa bersenam kuruskan badan

Marilah kita semua luangkan masa untuk bersenam. Jangan berikan alasan tak ada masa untuk bersenam sedangkan kita ada masa untuk lepak minum teh di kedai mamak setiap hari.

Tiada alasan tak ada masa jika letakkan prioriti bersenam pada tahap penting sama dengan pentingnya makan tengahari dan makan malam. Cuba senaraikan perkara penting anda dan sasarkan bersenam sekurangnya setengah jam setiap hari sebagai matlamat tahun baru yang akan menjelang tak lama lagi.

kuruskan badan


Ramai Ustaz yang gemuk tak kuruskan badan

Maaf jika saya bercakap bahawa ada ramai juga di kalangan para Ustaz yang gemuk badanya. Saiz paha mereka boleh membuatkan lembu mati jika dihempap atas kepala lembu. Saiz Jubah mereka boleh cukup isi dua orang yang normal. Kenapa boleh jadi begitu?

Ini bukanlah cakap saya, malah cakap seorang kawan saya yang merupakan seorang Ustaz yang aktif memberikan kuliah di kampung. Dia sering bercakap betapa pentingnya seorang Ustaz tidak gemuk berlebihan secara melampau.

Persepsi utama bila kita melihat Ustaz yang gemuk adalah betapa dia tidak dapat menahan nafsu makan berlebihan secara yang tidak patut. Ini diiringi pula dengan gaya hidup kurang bergerak yang membuatkan badan mengumpulkan banyak lemak dalam badan.

Jika dilihat orang-orang alim di kampung dulu, mereka semuanya berbadan sasa gagah. Selain daripada mengajar orang ramai di Masjid dan Surau, para alim ulama kampung juga giat berusaha berkebun. Mereka membersihkan kebun, membuang semak samun memotong pokok dan mencangkul tanah setiap hari.

Tok Guru mengaji tenangkan orang gila isim

Bukan saja mereka mengajar orang kampung, malah mereka juga menjadi tempat aduan bila ada orang gila mengamuk naik isim. Saya pernah melihat Tok Guru mengaji saya yang tua tenangkan seorang gila isim yang kuat dan sasa. Kalau nak diukurkan saiz badan, besar lagi orang gila isim itu.

Ada sekali peristiwa orang ramai mengadu padanya bahawa ada orang gila isim mengamuk. Din namanya, memang sering naik minyak bila ada yang tak kena. Hari itu dia marah kerana sapaannya tidak dibalas oleh seorang tua. Mungkin orang tua itu tak dengar, tapi orang gila tak akan fikirkan begitu.

Lalu bertempiaranlah lari orang ramai kerana Din dah mengamuk. Bila Din mengamuk matanya merah dan jalannya nampak gagah. Hentakan kakinya tarasa seperti bumi bergoncang. Ada orang pernah lihat Din humbankan orang naik atas bumbung dari bawah sekali hayun saja.

Din juga pernah lari kejar orang dan kakinya tersadung di bawah akar pokok Durian. Sekali hentak saja tercabut akar pokok durian itu dibuatnya. Begitulah hebatnya bila Din mengamuk.

Kali ini dia sedang mengamuk dan Tok Guru mengaji berada di depannya setelah orang datang mengadu. Din ditenangkan oleh Tok Guru dengan berkata, "sudahlah Din, pi balik basuh muka!", kata tok guru mengaji.

Tiba-tiba Din yang bermata merah menampar dada Tok Guru dengan kuat sambil menjerit. Tamparan itu hanya membelakangkan sedikit saja badan Tok Guru mengaji. Kalau saya kena tamparan itu dah tentu terpelanting ke belakang.

"Aku cakap elok-elok hang tampar aku ya!" tengking Tok Guru, lalu PANG!!!...Din terkena tamparan sulung Tok Guru mengaji dan Din kelihatan jatuh rebah terus tidak sedarkan diri!!!. Itulah tamparan orang tua yang hari-hari pegang cangkul dan kapak serta golok di kebun.

Oklah...panjang sangat celotih hari Jumaat ni....jika anda gemuk, sila ke lokasi kuruskan badan di Bukit Wawasan. Rengok koleksi gambar lain di situ.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Lokasi kuruskan badan menarik di Bukit Wawasan

Previous
« Prev Post

2 comments:

  1. Setuju sangat dgn penulis..

    ReplyDelete
  2. Betul la bro. Dulu saya kerja kat sekolah. Ofis takda aircond. Harap kipas angin je, itupun bukan selalu duduk dalam ofis pun. Banyak masa kat luar ofis sebab banyak terkejar-kejar kerja yang perlukan solved on site. Berpeluh tu dah tentu. Ketiak sure bau Bangla.

    Tapi, hikmahnya. Saya jarang jatuh sakit waktu tu.

    Sekarang ni, duduk ofis aircond tiap-tiap hari sampai badan dah naik lemah dah. Ni kalau pegang cangkul, nak jebak tanah pun boleh demam jadinya kot.

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !