Sunday, January 25, 2015

Ipoh lagi - Pelangi dan nasi ganja

  Mat Bihi       Sunday, January 25, 2015
Sekali lagi cerita perjalanan saya di Ipoh. Memang banyak juga cerita Ipoh sebab memang hampir setiap bulan saya akan ke negeri Perak dan menginap dua atau tiga hari di Ipoh. Biasanya saya akan menginap samada di Hotel Riverfront ataupun Hotel Ibis. Namun sejak dua menjak ini lebih kerap duduk di Hotel Ibis.

Hotel Ibis memang agak sempoi. Rekabentuknya menarik ala-ala scandinavian. Perabut serta hiasan bilik ringkas dan pilihan warna juga sekata. Hotel Ibis di Ipoh ini memaparkan warna Hijau. Seperti kebanyakn hotel lain, mereka menekankan menjagaan alam sekitar. 

Itu strategi serampang dua mata. Untuk menggalakkan pengguna memikirkan alam sekitar dan sekali gus membuatkan pengguna mengamalkan gaya hidup berwaspada dan berjimat cermat. Bila pengguna cermat dan jimat, maka kesannya akan kembali kepada hotel yang dapat mengurangkan kos operasi mereka.

Terserempak pelangi dalam perjalanan ke Ipoh

Dah terlalu lama saya tak melihat pelangi yang muncul dari langit dan menjunam menuju ke bumi. Tak ingat pula bila kali terakhir saya menyaksikan fenomena alam yang amat indah itu. Tapi dengan izin Tuhan, dalam perjalanan menuju ke Ipoh, fenomena alam itu dapat saya saksikan.

Ketika sedang bawa kereta di Lebuhraya Utara Selatan, saya nampak pelangi yang amat terang dan jelas. Saiznya amat besar menjunam turun ke bumi betul-betul dicelahan bukit bakau yang ada banyak berhampiran kawasan Perak.

Nak berhenti dengan tidak sama banyak sebab agak bahaya berhenti tak tentu hala di Lebuhraya tersebut. Tapi semakin lama semakin jelas kelihatan pelangi itu dan akhirnya saya ke tepi dan hentikan kereta sambil pasang hazard light.

Hasilnya, itulah gambar yang saya rakamkan. Rupa Pelangi yang jelas sedang turun ke satu kawasan di celahan bukit. Waktu itu cuaca panas sederhana. Mungkin ada sedikit hujan berlaku di kawasan di mana pelangi itu turun, menyebabkan munculnya fenomena tersebut.

Cuma agak sedikit terkilan sebab ketika saya boleh berhenti, warna pelangi sudah semakin pudar. Berbanding sebelum saya sepmta hentikan kereta, warnanya jauh lebih jelas dan tebal. Tapi oklah juga dapat rakamkan untuk dilihat oleh anda semua.
Ada banyak cerita dongeng tentang pelangi ini. Paling terkenal sekali adalah jangan tunjukkan jari telunjuk anda pada arah elangi jika mahu khabarkan pada kawan. Oleh kerana kepercayaan karut itu sudah lama tak dimainkan dalam kepala, saya secara spontan menudingkan jari pada arah pelangi ketika memberitahu kawan di sebelah. Walau apapun, tidak ada apa mudharat akan berlaku melainkan dengan izin Allah. Itu perlu jadi pegangan kita tanpa goyang. Insyaallah.

Pekena nasi ganja di Ipoh

Dalam beberapa trip yang lalu ke Ipoh, saya tak makan nasi ganja. Nasi ganja atau juga dipanggil nasi wangge di Ipoh memang dah terkenal. Kalau pergi waktu tengahari, terpaksa beratur panjang sebelum dapat menjamah nasi dengan ayam masak madu dengan seketul telur masin.

Kali ini, kebetulan saya habiskan kerja awal dan lalu ditepi restoran wangge atau restoran nasi ganja itu dalam pukul 4.30 petang. Saya lihat tak ada orang dan makanan masih ada. Apa lagi, terus berikan signal dan berhenti di tepi. Kami semua turun masuk ke rerstoran

Kebetulan rakan-rakan yang lain yang ada bersama ketika itu tak pernah lagi merasakan nasi ganja di Ipoh itu. Maka bolehlah mereka cuba dan berikan pendapat samada ok atau tak ok. Restoran dah nak tutup rupanya tapi kami masih ada peluang makan. Taukeh cina yang jual air minuman di restoran itu sedang tutup akaun perniagaanya tapi masih benarkan kami minta minuman.
Kali pertama saya makan nasi ganja dalam keadaan tak berapa lapar. Jadi rasa lidah ketika itu lebih jelas dan dapat berikan keputusan sebenar samada sedap atau tidak sedap nasi yang terkenal tersebut. Apa yang boleh saya katakan adalah tak berapa sedap sangat. Ala kadar saja kalau nak dibandingkan dengan keenakan nasi kandar di Pulau Pinang.

Merayau waktu pagi di Ipoh

Satu lagi istimewanya Hotel Ibis adalah kedudukannya ditengah Bandar Ipoh. Jadi kalau nak merayau melihat persekitaran dan suasana Ipoh amat sesuai sekali. Macam biasa saya akan turun awal pagi dalam pukul 7 untuk merayau sambil bawa kamera cap ayam yang saya miliki.

Hotel Ibis tak berapa jauh sebenarnya daripada restoran Nasi Ganja. Selepas saya ambil gambar spontan pada seorang warga Ipoh yang sedang uruskan surat khabar pagi untuk diedarkan ke kedai-kedai yang menjadi pelanggannya, saya terserampak pula dengan pekerja di restoran nasi ganja sedang duduk melayan suasana segar di waktu pagi.
Nampaknya dia sporting benarkan saya rakamkan gambarnya. Saya bertanya samada dia pekerja di situ dan dia anggukkan kepala. Bila saya halakan lensa padanya dia kemaskan kedudukan dan buat posing segak untuk saya paparkan di sini.

Gelandangan di Ipoh

Terus berjalan lagi sambil mata melihat kiri dan kanan semua kedai dan orang ramai yang kelihatan bergegas nak pergi kerja. Saya nampak dua orang gelandangan sedang lena tidur dengan nyenyak di satu kawasan yang mungkin merupakan bangunan lama. Saya rakamkan gambar mereka seperti di bawah. Seorang lagi menumpang tidur di tempat yang sama dihujung kepala orang yang di atas itu.

Mungkin dia gelandangan yang agak istimewa sebab saya lihat kelengkapannya agak mewah berbanding kebanyakan gelandangan yang pernah saya temui di Kotaraya lain. Biasanya mereka hanya pakai kotak kertas sebagai selimu, tapi dia ni ada selimut dan ada bantal lagi tu. Tempatnya agak selesa dan tidak perlu berkongsi dengan ramai lagi gelandangan lain.

Terfikir juga dalam hati bagaimana rasanya jika saya berada di tempatnya. Tentu saya akan jadi lebih tabah dalam kehidupan. Apa yang pasti, saya mesti bersyukur kerana ada tempat tinggal yang sederhana dan kepunyaan sendiri, walaupun ada baki lagi yang boleh dituntu oleh pihak bank, moga saya mampu habiskannya, insyaalah dan jadi milik saya sepenuhnya.

logoblog

Thanks for reading Ipoh lagi - Pelangi dan nasi ganja

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment