Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Saturday, June 10, 2017

Perwatakan emak dah berubah - ini yang saya belajar darinya.

  Mohd Shubhi       Saturday, June 10, 2017
Tahun 2014 yang lalu saya ada buat beberapa artikel berkenaan masalah emak yang menghadapi masalah penyakit dementia. Jika ada yang berminat nak baca kesemua artikel yang lalu, saya berikan pautannya kat bawah ni:

Apa berlaku pada emak sekarang ?

Itulah yang nak saya sambung sikit dalam artikel ini. Sebenarnya cerita emak yang tiba-tiba kena penyakit ingat-ingat lupa itu panjang. Termasuklah segala usaha kami adik beradik mencari berbagai pendekatan untuk cuba pulihkan emak.

Antara yang kami buat adalah bawa seorang Ustaz dari Indonesia yang dah lama menetap di Malaysia untuk berubah mak kat rumah. Kerja pergi cari dan bawa ustaz itu, sayalah yang buat setelah dipersetujui oleh Abang Sulong yang berikan maklumat berkenaan ustaz tersebut.

Orang kata Ustaz itu terkenal di serata tempat. Banyak kes-kes berat yang berlaku di kilang-kilang kat Penang tu, dia yang uruskan. Dari situ abang saya tahu pasal dia kebetulan abang masa tu bertugas di Motorola Penang.

Menarik juga, bila saya dengar ustaz itu selesaikan masalah yang berlaku kat Kilang. Ertinya, kes-kes pelik yang ada kaitan dengan perkata mistik berlaku juga kat kilang-kilang yang dipenuhi oleh peralatan dan sistem moden yang canggih.

Dalam bab hantu dan jin, tak ada peralatan canggih yang boleh selesaikan. Terpaksa panggil ustaUstaz juga akhirnya, baru selesai. Saya cerita pasal pengalaman bawa ustaz tengok mak pada artikel yang lain nanti. Kalau nak tulis kat sini, nanti panjang sangat.

Perwatakan emak sebelum sakit

Eak saya sebelum hadapi masalah yang saya rasa dementia itu amat jauh berbeza daripada sekarang. Dia seorang yang garang dan berterus terang bila nak kata atau nak marah kat orang. Semua orang kenal mak saya sebagai seorang yang cerewet.

Orang putih kata dia punya high expectation dalam semua perkara. Kebersihan, masakan, rupa paras, sikap dan apa-apa saja. Atas sebab itu dia banyak tak puas hati dengan pilihan calon isteri yang dibuat oleh anak-anaknya, jika anak-anaknya pilih sendiri.

Kalau nak biarkan dia cari, satu masalah juga. Sikapnya yang punya standard kecantikan yang tinggi membuatkan aktiviti pencarian calon menantu menjadi sukar. Bab hidung dia amat ambil berat. Jika hidung kemek sikit, habislah rating merudun turun. Dia akan tolak mentah-mentah. Bayangkan betapa sukarnya nak cari orang melayu yang punya hidung terpacak tinggi !

Emak suka tegur anak-anak dia. Ada saja yang tak kena di matanya. Bukan saja pada anak-anak, malah kepada para menantu dan semua anak cucu akan ditegurnya. Itu membuatkan anak cucu dan menantu duduk tak senang.

Perkara paling menakutkan bagi menantunya adalah jika dia pergi ziarah ke rumah mereka. Pasti ada saja yang tak kena untuk ditegusnya dari atas rumah sampai ke bawah, dari masakan sampai pakaian habis semuanya dia akan berikan komen. Itulah perwatakan mak yang semua orang tahu dan dah terbiasa dengannya.

Kalau tanya kawan-kawan mak kat kampung apa pendapat mereka tentang mak saya, kesemua orang tentu akan kata cengge (orang penang saja yang tahu maksud perkataan ini yang bermaksud garang). Selain dari itu mak dikenali sebagai seorang yang amat cerdas, pantas dan berdikari.

Mak juga pandai masak. Dia akan jadi anara orang penting dalam aktiviti kenduri kat kampung. Dia juga akan diharapkan jika saudara mara nak buat kenduri jamu orang. Kadang-kadang mak ambil upah masak lauk pauk dan nasi untuk orang lain termasuklah kawan-kawan cina kat Pekan Penanti.

Perwatakan mak berubah

Semua yang saya ceritakan kat atas tu mula berubah selepas mak masuk hospital buat pembedahan besar di Hospital Besar Pulau Pinang. Mak ada ketumbuhan pada bahagian perutnya atau lebih tepat lagi pada rahim yang perlu dibuang sebab ia semakin membesar. 

Doktor kata ianya sejenis kanser air dan ramai orang tua yang kena masalah sedemikian. Pembedahan besar dibuat di bahagian dada turun ke bawah sampai ke perut. Lama juga nak kena rehat untuk tunggu kesan jahitan dari pembedahan itu pulih.

Itulah pertama kali mak masuk hospital dalam tempoh yang agak lama dan menjalani proses rawatan yang rumit. Mak sebenarnya tak pernah masuk hospital sebab dia tak pernah ada apa-apa penyakit selain dari demam ringan sekali sekala.

Mungkin proses pembedahan yang besar itu membuatkan mak terkejut dan tidak bersedia dari segi mental. Selepas selesai pembedahan, mak mula berubah sedikit demi sedikit. Dia mudah lupa tapi masih tidak berapa ketara. Dia masih boleh memasak semua masakan kegemaran saya setiap kali balik. Dan boleh berbual seperti biasa.

Sehinggalah satu hari mak tiba-tiba amat berlainan perwatakannya. Dia seperti merepek dan bercakap perkara yang tak ada ketika pergi ke rumah jiran. Melihat perkara tersebut, jiran terus telefon adk kat Langkawi dan menggesa supaya ada orang segera balik dan pergi tengok apa yang tak kena pada mak.

Diringkaskan cerita, bermula dari situ, mak seperti hilang ingatan dan bermulalah cabaran kami mencari jalan untuk pulihkannya semula. Lama juga mak dalam keadaan sedemikian. Dia berkelakuan seperti orang yang tidak waras dan sukar dikawal.

Mak pulih semula

Setelah berusaha di sana dan sini akhirnya mak pulih semula dari segi daya ingatannya. Dia dah bersikap normal dan tidak agresif lagi. Dah tak menarut tunjuk ada lembaga di bawah tangga dan tunjuk ada kanak-kanak kat dalam rumah dan sebagainya lagi.

Tapi ada sesuatu yang hilang dari dirinya.

Perwatakannya amat jauh berbeza berbanding dulu ketika dia normal seperti yang saya ceritakan kat atas tadi.

Dia dah tak banyak komplen. Dia juga tak banyak tegur itu dan ini. Dia lebih lebut dan mudah nak menangis saja jika ada sesuatu yang tak kena. Dia juga tak berapa cerdas dan tak peka lagi dengan keadaan sekeliling dan sikap cengge langsung dah tak ada padanya.

Semua itu membuatkan saya terfikir...

Selama ini anak-anak inginkan mak supaya sentiasa tenang da bersikap lemah lembut. Jangan terlalu banyak nak komplen sana dan sini dan sentiasalah berfikiran positif dan jangan terlalu kelam kabut sangat dalam segala tindakannya.

Nah ! sekarang semua sikap yang anak-anak mahukan ada pada emak mereka dah berlaku !.

Tapi ternyata semua orang dapat rasakan mak sebenarnya yang seperti dikenali dahulu sudah hilang. Rasa tak puas bila mak jadi macam itu kerana kita rasa itu bukan mak yang semua kenali. Rasa seperti kalau boleh, biarlah mak kembali seperti dahulu yang banyak membuatkan orang tak senang duduk.

Walaupun tak senang duduk, itulah mak. Itulah yang memberikan kenangan bersama dengan mak. Susah senang, masam, manis, itulah mak. Marah gelak dan ketawa, itulah mak. Alangkah cerianya dan indahnya jika semua itu kembali semula...

Itulah yang saya belajar.

Walau bagaimana pun perwatakan orang-orang yang rapat dengan anda. Tak perlulah nak mengeluh dan paksa supaya orang yang anda sayang itu berubah secara drastik. Dalam buruk, sudah pasti ada banyak pula yang baiknya.

Terimalah apa saja keadaan dan perwatakan orang yang anda sayang. Dan berikan masa supaya yang buruk perangainya itu berubah perlahan-lahan dan bukannya secara drastik. Itu adalah lebih bagus daripada anda rasa secara tiba-tiba ada sesuatu yang telah hilang.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Perwatakan emak dah berubah - ini yang saya belajar darinya.

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !