Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Wednesday, December 6, 2017

Terharu sebab tak sangka remaja India berambut punk ini baik hati

  Mohd Shubhi       Wednesday, December 6, 2017


Pagi itu, minyak diesel Toyota Hilux yang saya pakai dan berikan tanda tangki hampir kosong. Lampu isikan minyak dah menyala sebaik saja saya hidupkan enjin kat rumah.

Sebelum teruskan perjalanan, saya singgah dahulu ke Stesen Minyak Petron yang ada tak jauh dari rumah. Memang stesen pilihan saya dah lebih dari 10 tahun adalah stesen minyak Petron. Dahulunya Mobil dan sekarang dah tukar nama.

Punca yang membuatkan saya terus setia dengan Petron hanyalah disebabkan kad Smile yang diberikan pada semua pengguna minyak Petron. Untuk setiap 3000 mata yang dikumpulkan selama isikan minyak di stesen Petron, anda layak untuk isikan minyak dengan harga RM45 secara percuma.

Hanya disebabkan kad smile itu saja saya terus setia dengan Petron dan terus lupakan Kad Mesra Petronas sampai sekarang.

Isi minyak diesel di Petron

Sampai saja di Petron, saya terus mencelah untuk masuk ke pum khas untuk minyak diesel. Hanya ada satu pum saja khas untuk diesel kat stesen Petron tersebut. Mungkin sebab tak berapa ramai sangat kenderaan yang pakai diesel kat kawasan taman tu.

Satu pum lagi yang dikhaskan untuk minyak diesel sahaja, corong isikan minyaknya agak besar dan berat. Biasanya kenderaan besar seperti lori atau bas akan pakai pum itu. Bkan tak boleh isikan diesel untuk Toyota Hilus kat situ, tapi malas nak pegang corong pumnya yang gabai besar.

Sebaik saja nak terjah masuk ke petak sebuah motosikal terus masuk lebih dahulu untuk isi minyak motornya. Memang ada dua pum. Satu untuk diesel dan satu lagi untuk petrol 95. Dua remaja India yang tunggang motosikal itu.

Pemandunya seorang remaja lelaki dengan rambut diwarnakan perang. Kiri dan kanan kepalanya ternampak warna kulitnya yang gelap. Dia pendekkan bahagian itu sehingga hampir botak. Bahagian tengah rambutnya pulak panjang dan dia ikat tocang pada rambut belakangnya.

Saya hentikan saja untuk tunggu dia selesaikan urusany aterlebih dahulu sebab dia yang sampai dahulu betul-betul depan pum itu. Dalam hati meyumpah juga. Punyalah banyak pum lain, yang satu untuk diesel itu pulak dipilihnya.

Tapi tak apalah, bukan lamapun nak isikan minyak motosikal, pujuk hati saja sendiri...

Terharu remaja India yang baik hati

Remaja itu menoleh ke arah saya yang sedang menunggunya dalam Toyota Hilux. Kemudiannya dia tiba-tiba naik semula atas motosikalnya dan menolak ke sebelah sana pum. Dia nampaknya perasan yang saya tak ada pilihan lain selain terpaksa menunggunya.

Jadi dia buat keputusan berikan laluan untuk saya masuk di pum itu dengan bealah ke pum sebelah yang juga kosong.

Eh! baik hati la pulak remaja India itu. Nampak macam ganas dan nakal. Tapi ada cetusan kemanusiaan yang baik di dalam hati rupanya. Rasa bersalah pulak dengan persepsi buruk saya terhadapnya.

Persepsi buruk pada remaja India

Persepsi itu mungkin timbul disebabkan sering melihat gelagat remaja India yang ramai kat taman tempat tinggal saya. Mereka suka buat kecoh kat taman permainan. Habis rosak permainan kanak-kanak diperlakukan mereka bila berkumpul ramai-ramai.

Bayangkan papan gelongsor satu-satunya yang ada kat taman itu yang masih baru setelah ditukar oleh pihak majlis di rongkahnya satu persatu sampai terlopong tak boleh digunakan lagi.

Setiap pagi ahad, bekas minuman arak berlambangkan harimau dan macam-macam jenama arak lagi bergelimpangan kat sekitar tempat permainan itu. Malam minggu mereka sering jugak berkumpul berkumpulan bersuka ria di situ sampai pagi.

Bila mereka naik motosikal pulak, ram moto tu kuat-kuat dan dan pulas minyak naik laju-laju. Mungkin nak tunjuk hero dan kecekapan naik motosikal agaknya.

Semua itu memberikan gambaran buruk dan timbulkan persepsi negatif saya pada anak remaja India di kawasan itu.

Jangan terus menghukum

Tapi aksi remaja punk India itu membuatkan saya fikirkan semula persepsi buruk itu pada mereka. Hakikatnya semua anak remaja tak kira apa saja bangsa sama saja. Mereka manusia dan punya hati dan nurani yang boleh dibentuk.

Masa saya remaja dahulu juga nakal. Suka buat macam-macam perangai. hanya fikirkan keseronokan. Apatah lagi jika bersama kawan-kawan. Tapi tak lah sampai tunggang arak sebab memang dah terdidik sejak awal akan keburukannya.

Tapi nakal tetap juga nakal dengan cara remaja melayu kampung yang tersendiri berdasarkan zaman saya dahulu.

Bila dah tua, apa yang saya perlu lakukan adalah cuba memahami anak-anak remaja. Dekati mereka secara baik, maka baiklah juga tindak balas yang akan mereka berikan.

Ucapkan terima kasih pada remaja India punk

Setelah saya letakkan Hilux pada posisinya berdekatan pum, matikan enjin, saya ters turun. Saya berjalan kaki ke arah remaja india itu. Saya tepuk bahunya dan dia terkejut menepis sambil memalingkan mukanya ke arah saya.

"Terima kasih ya!", saya lontarkan penghargaan saya padanya.

"Ok bang, no problem !, dan minta maaf bang!", katanya sambil mengukirkan senyuman manisnya pada saya.

Walaupun berambut perang ala-ala punk, kemanisan wajah manusia yang terselit perasaan baik hati terpancul jelas di riak wajahnya. Saya balas senyumannya itu dan masuk ke dalam kaunter Petron untuk membuat bayaran.

Memang terharu dan tak sangka remaja India berambut perang punk itu baik hati rupanya...!

Nota: Gambar di atas hanyalah sekadar hiasan.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Terharu sebab tak sangka remaja India berambut punk ini baik hati

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !