Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Thursday, March 8, 2018

Surau lama Kubang Semang ini pernah jadi pusat pengajian terkenal satu ketika dulu

  Mohd Shubhi       Thursday, March 8, 2018



Ini satu artikel yang menarik yang saya petik dari Unit Pelancongan, Seni Dan Warisan MPSP. Kisah warisan peninggalan orang dulu yang amat berharga untuk dikekalkan sebagai bahan sejarah. Baca artikelnya kat bawah ni:

Surau Tuan Guru Haji Mahmud Taib Bin Haji Mahmud Ali, Kubang Semang

Oleh : Unit Pelancongan, Seni Dan Warisan

BUKIT MERTAJAM : Surau lama yang terbiar dan ditinggalkan ini dahulunya merupakan salah satu institusi pengajian pondok yang terkenal diasaskan oleh Tuan Guru Haji Mahmud Taib Bin Haji Mahmud Ali pada tahun 1910 di Kubang Semang, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

Seberang Perai dahulunya merupakan Pusat Dakwah dan Pendidikan Pondok yang terkenal di Tanah Melayu bermula pada akhir tahun 1800 hingga pertengahan tahun 1900.

Menurut sejarahnya, Surau Tuan Guru Haji Mahmud Taib pada awalnya diasaskan oleh Tuan Haji Mahmud Ali iaitu ayahda kepada Tuan Guru Haji Mahmud Taib pada tahun 1910.

Pada ketika itu, ayahnya Haji Mahmud Ali berhijrah dari wilayah Patani ke Seberang Perai dan kemudian menetap di Kubang Semang dengan membuka sebuah kebun sireh.

Dengan hasil jualan sireh di Pekan Penanti, beliau dikatakan telah mengumpul wang untuk pergi ke Mekah mengambil anaknya yang pada ketika itu berada di Tanah Suci mendalami bidang agama untuk dibawa pulang ke tanahair menjadi guru agama di sebuah surau yang didirikan di Kubang Semang yang bermula pada tahun 1920.

Ketika surau berkenaan memulakan pengajian maka ramailah di kalangan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka untuk belajar di sini termasuklah anak orang-orang kaya pemilik ladang kelapa terbesar dari Kuala Selangor dan Bagan Datoh serta pelajar-pelajar dari Kedah, Perak dan sekitar Pulau Pinang.

Naik sampan sayur ke Kubang Semang

Menurut Haji Ismail Bin Md Zain yang berusia 83 tahun menceritakan, dahulunya orang-orang kaya pemilik ladang kelapa ini menghantar anak mereka ke sini dengan menaiki sebuah perahu besar yang dikenali sebagai ‘sampan sayur’.

Mereka belayar dari Kuala Selangor dan Bagan Datoh ke Seberang Perai melalui Sungai Perai dan kemudiannya menyusuri Sungai Derhaka di Permatang Pauh sebelum sampai ke sini melalui Sungai Kubang Semang atau yang lebih dikenali dengan nama Ban Busuk.

Dahulunya Ban Busuk ini adalah sabatang sungai yang besar, banyak perahu-perahu dan kapal-kapal masuk melalui sungai ini untuk menghantar barang dagangan di Penanti dan Bukit Mertajam. 

Pulihkan anak bermasalah jadi alim

Menurut pengkisahannya, pelajar-pelajar yang dihantar ke pusat pengajian ini dahulunya terdiri daripada anak-anak yang bermasalah dari segi pembelajaran dan tingkahlaku yang sukar dikawal oleh ibu bapa mereka sendiri.

Melalui usaha dan harapan menghantar anak-anak mereka ke sini maka ibu bapa mengharapkan agar satu perubahan dapat dilakukan oleh Tuan Guru Haji Mahmud Taib untuk mengajar serta membimbing anak-anak mereka menjadi seorang anak yang soleh dan alim dalam bidang agama pada satu hari nanti.

Kebanyakkan ibu bapa yang pulang selepas menghantar anak mereka di sini, mereka tidak akan datang lagi menziarahi anak mereka dalam tempoh yang lama sebaliknya hanya menghantar wang dan barang keperluan melalui orang ketiga sehinggalah anak mereka menamatkan pengajian.

Dengan berkat dan kegigihan Tuan Guru Haji Mahmud Taib mengajar dan membimbing mereka, ramai para pelajar telah berjaya mengubah diri mereka daripada jahil menjadi seorang yang alim termasuklah anak kepada pemilik kebun kelapa dari Kuala Selangor itu juga dikatakan telah menjadi seorang alim dalam bidang agama.

Lahirkan Tok Guru agama

Antara anak murid Tuan Guru Haji Mahmud Taib yang paling awal ialah Tuan Haji Mansur JP atau nama sebenarnya Haji Mansur Bin Haji Hasan yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Haji Mansur JP adalah satu-satunya pelajar berketurunan Cina yang dihantar oleh ayahnya yang bernama Haji Hasan Kwantung yang berasal dari negara China.

Selain itu Haji Mansur JP juga adalah ahli jawatankuasa yang terlibat dalam mesyuarat penubuhan Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang diadakan pada tahun 1951 di Kelab Melayu Bagan, Butterworth, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Ramai di kalangan bekas pelajar di sini yang pulang ke kampung halaman membuka pusat pengajian agama seperti Tuan Guru Haji Mohammad Amin yang membuka sebuah sekolah Pondok di Jeram, Selangor pada tahun 1940an.

Ada juga di kalangan bekas pelajar tidak pulang ke kampung halaman sebaliknya menetap di Kubang Semang menjadi guru-guru agama yang mengajar di sekolah, masjid dan surau sekitar Pulau Pinang. 

Surau dibina oleh tukang kayu termahsyur

Surau ini dahulunya dibina oleh seorang tukang kayu dan pengukir termahsyur Seberang Perai bernama Haji Mahamed Sopian Bin Haji Abdul Wahab dan dibantu oleh dua orang anaknya bernama Zainal Abidin dan Ismail yang berasal dari Penanti, Bukit Mertajam.

Selepas beberapa tahun surau Tuan Guru Haji Mahmud Taib ini dibina, Haji Mahamed Sopian dikatakan telah dipanggil mengadap Sultan Perak, Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Iskandar Shah untuk menyuruh beliau membina Istana Kayangan di Kuala Kangsar pada tahun 1926.

Dua tahun kemudian, Haji Mahamed Sopian ditawarkan pula oleh Datoh Panglima Kinta Che Wan Muhamed Yusuf untuk membina sebuah mimbar masjid yang dihiasi dengan ukiran bunga tanjung yang melambangkan kesejahteraan terukir di Masjid Panglima Kinta, Ipoh, Perak pada tahun 1928. 

Surau Tuan Guru Haji Mahmud Taib yang dibina hasil sentuhan keramat oleh Haji Mahamed Sopian ini juga merupakan satu-satunya tinggalan warisan ketukangan Melayu di Seberang Perai yang masih kekal dan ianya perlu dipelihara agar tidak pudar ditelan zaman.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Surau lama Kubang Semang ini pernah jadi pusat pengajian terkenal satu ketika dulu

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !