Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Tuesday, May 29, 2018

Imam lupa rakaat kemudian ulang semula Solat Zohor berjemaah sekali lagi

  Mohd Shubhi       Tuesday, May 29, 2018



Bulan ramadan ni tak macam biasa. Setiap kali datang ramadan, surau dan masjid akan lebih ramai yang datang berjemaah. Kalau masa bulan biasa ada hanya satu saf, bila ramadan, mungkin akan ada 2 atau lebih saf.

Selepas selesai solat berjemaah, biasanya ramai yang masih kekal duduk dalam masjid. Ada yang iktikaf duduk saja, bersila mengadap kiblat. Ada yang ambil Al-Quran, ambil rehal dan duduk baca ayat-ayat suci Al-Quran itu perlahan-lahan dan berlagu.

Ada ramai juga yang pergi cari dinding belakang masjid atau surau. Kalau tempat tu redup lagi bagus. Mereka iktikaf secara baring sambil pejamkan mata. Silangkan tangan pada dahi dan akhirnya terlelap sambil berdengkur. Letih berpuasa la tu..

Solat zohor berjemaah di surau sejuk

Samada bulan zohor atau tidak, saya biasanya pergi solat zohor kat surau yang agak jauh sikit dari pejabat. Kena naik kereta untuk ke situ. Ambil masa hanya lebih kurang 5 minit untuk sampai.

Walaupun masjid lebih hampir. Hanya perlu jalan kaki saja untuk solat berjemaah ke situ. Saya lebih suka ke surau tersebut. Ada beberapa alasan kenapa lebih selesa ke surau tu. Yang paling ketara alasannya adalah disebabkan suasana surau yang lebih tenteram, nyaman, cantik dan paling penting ada pendingin hawa.

Surau itu terletak sebelah dengan kawasan perumahan yang agak mewah. Kawasan perumahan berpagar dan ada Pak Gad berkawal 24 jam. Maksudnya kawasan orang berada lah tu agaknya. Ada juga perumahan sederhana depan seberang jalan surau tu yang saya lihat beberapa orang jemaah datang dari sana berjalan kaki setiap kali masuk waktu.

Majoriti besar yang datang berjemaah kat surau itu pakai seluar dan t-shirt saja. Teramat jarang yang datang pakai kain atau jubah. Paling ramai mungkin seorang atau dua. Biasanya, solat di siang hari macam itulah. Imampun biasanya hanya berseluar dan bert-shirt.

Imam keliru jumlah rakaat

Dah lama saya solat kat situ dan biasanya ok saja. Walaupun imam nampak ruged dengan seluar panjang dan t-shirt, saya selesa solat kat situ.

Cuma semalam berlaku kelam kabut sikit ketika solat zohor.

Imam dah selesai dua rakaat dan habis tashahud awal. Dia bangun untuk rakaat ke-3, baca fatihah, rukuk dan sujud. Kemudian selepas sujud ke-2, dia duduk baca tashahud awal lagi sekali. Saya perasan macam dah rekaat ke-3 tapi keliru juga bila tak ada satu orangpun yang tegur imam tu.

Oleh kerana duduk jauh dari imam dan semua buat dono saja, maka saya andaikan tentu saya yang silap kot. Jadi ikut saja pak imam tu duduk baca tashahud.

Kemudian Imam bangun sambung lagi. Baca fatihah, rukuk, sujud dan dia bangun untuk satu rakaat lagi, saya juga tetap masih ikut sebab saya rasa tentu imam betul. Bila dah bangun, barulah ada orang menegur. "Subhanallah!"...

Imam duduk semula dan saya baru yakin bahawa keraguan saya tadi memang betul. Jadi saya ikut saja imam, duduk dan baca tashahud akhir dan selepas semuanya selesai, imam berikan salam.

Apa yang berlaku itu adalah perkara biasa saja. Imam keliru dan makmum tegur dan semuanya berjalan lancar. Biasanya imam akan sujud sahwi sebab dah bangun berdiri tambah bilangan rakaat tadi dan duduk semula setelah ditegur. Tapi tak apa.. tak buatpun ok.

Selepas berikan salam saya bangun untuk solat sunat.

Imam ajak solat semula solat zohor

Masa tengah solat sunat, saya lihat ada orang pergi bincang dengan Imam beritahu yang dia salah tadi. Setelah itu, imam umumkan dia nak solat semula zohor tu secara berjemaah sebab dia dah buat salah tadi.

Kalau ada yang nak ikut, silakan. Kalau tak nak, tak kisah, katanya.

Ramai juga yang ikut solat sekali lagi. Saya biarkan saja dan selesaikan semua urusan saya dan berlalu. Bagi saya memang tak perlu lansung untuk buat sekali lagi solat zohor. Imam bukannya batal solatnya tadi. Dia hanya keliru dan dah betulkan semula.

Kenapa nak solat sekali lagi, saya tak tahu?

Cuma rumusan yang saya boleh buat adalah, ramai kat surau tu yang tak faham kaedah solat berjemaah. Malah yang selalu jadi imampun konfius dan main solat sekali lagi ler pulak.

Akhirnya, hari ini, saya pergi solat Zohor ke Masjid berdekatan semula seperti dahulu. Masjid insyaallah tak akan jadi kisah macam atas tu. Sebab yang jadi imam dan pembantu imam semuanya profesional. Mereka bertugas secara sepenuh masa kat situ dan sudah tentu dah fasih selok belok berjemaah.

Jadi, pada yang masih muda tu, sila lazimi solat berjemaah dari muda supaya dapat belajar dan beramal dalam semua keadaan. Jangan tunggu tua nak mampus baru terhegeh-hegeh ke masjid pulun beramal. Bila pulun masa tua tu, orang akan nampak hebat, warak, sampai orang tolak jadi imam. Dan bila ada masalah, kelam kabut sebab tak ada ilmu tentangnya...

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Imam lupa rakaat kemudian ulang semula Solat Zohor berjemaah sekali lagi

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !