Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Friday, November 16, 2018

Kalau nak berpolitik jiwa mesti kental kuat dan tahan dengan kritikan

  Mohd Shubhi       Friday, November 16, 2018

Kalau betul nak berpolitik, jiwa mesti kental kuat. Mesti tahan terima kritikan dan tenang menghadapi hujah orang lain yang berbeza pandangan.

Itulah yang saya baru sedar.

Walaupun dah lama juga ikuti perkembangan politik. Dah pernah ada parti politik yang saya cenderung untuk sokong sebelum ini. Tapi hanya baru sekarang sedar pasal perlunya jiwa yang kuat kental untuk turut sama berbincang pasal fahaman dan keputusan politik.

Pengaruh kepartian terhadap keputusan

Masa mula-mula tulis blog dulu, memang dimulakan dengan penulisan politik. Masa tu sokong PAS. Kebetulan PAS masa itu bersekongkol dengan DAP dan PKR, sama-sama jadi pesaing UMNO/BN yang jadi kerajaan. Jadi saya juga turut sama sokong dan cenderung dengan semua fahaman gabungan parti pembangkang ketika itu.

Bila ada kecenderungan kepartian dan turut sama daftarkan diri jadi ahli, maka fikiran tertutup. Semua pendapat dan pemikiran akan ditapis terlebih dahulu dengan melihat siapa yang bercakap.

Jika yang bercakap itu geng, terus saja diterima sebagai betul. Kalau kenyataan itu bercanggah dari segi logik sekalipun, akal akan ligat mencari pendekatan dan alasan untuk membenarkannya. Sebab memang dah buat keputusan, segala pendapat yang keluar dari geng adalah betul.

Jika yang berkata itu datang dari kumpulan musuh, keputusan awal adalah terus tolak dan dihukum tak betul. Kalau logik akal terdetik ada kebenaran terhadap pendapat tersebut, akal (tak) waras terus cari alasan dan pendekatan untuk menolaknya.

Jadi neutral dan elak pengaruh kepartian

Selepas PRU 13, saya mula letih dengan semangat berpolitik kepartian. Mungkin sebab pakatan pembangkang masa tu kalah sekali lagi walaupun harapan amat tinggi untuk menang ketika itu. Anwar Ibrahim masih tetap gagal untuk memimpin pakatan pembangkang menewaskan UMNO/BN.

Sejak kalah pada PRU 13, kemudian Tuan Guru Nik Aziz pula meninggalkan kita semua, PAS mula haru biru. Bunga perpecahan antara kumpulan agamawan dengan kumpulan profesional atau sederhana nampak ketara berbeza.

Masa itu saya dah mula tolak untuk berfikir atas dasar kepartian. Jadi pecahan yang membawa kepada wujudnya Amanah saya lihat dari perspektif seorang warga negara yang tidak ada pegangan kepartian.

Walaupun tak pernah keluar dari menjadi ahli PAS, saya dah tak anggap diri ini sebahagian dari ahli. Amanah juga saya tak masukpun. Keahlian PAS tu biarlah dia begitu saja. PAS boleh buang atau delete saja kalau mereka mahu dan saya tak ambil kisahpun apa depa nak buat.

Bila jadi neutral tanpa ada kecederungan berpihak kepada mana-mana parti politik, saya ada keupayaan untuk melihat segala pemikiran dan pandangan hanya dari sudut isu yang diperkatakan sahaja. Tak terpengaruh dengan melihat individu yang mengeluarkan pandangan tersebut.

Lihat isu dan gunakan akal berfikir

Apa saja isu, samada dikeluarkan dari mulut Mat Sabu, Anwar Ibrahim, Tuan Guru Haji Hadi, atau Tun Mahathir perlu dilihat dari segi isu yang mereka bahaskan. Samada pandangan mereka boleh diterima perlu dinilai dari segi hujah yang mereka berikan.

Kalau betul berdasarkan selera dan pemikiran akal yang saya ada, maka betullah, akan diterima. Kalau tak betul berdasarkan logik akal yang saya ada, maka saya tolak. tak kisah samada pandangan itu datang dari ulama nombor 2 dunia atau nombor satu dunia.

Pandangan agama yang keluar dari ulamak yang berpolitik, bagi saya sentiasa ada kecenderungan politik. Dan saya tetap samakan pandangan itu dengan pandangan politik. Jadi saya akan buat penilaiannya sama nak terima atau nak tolak.

Kalau pendokong ulama itu kata agama tak boleh pakai logik akal, itu pandangan mereka. Bagi saya tak ada yang tak logik dalam kepercayaan agama. Semuanya boleh dibahaskan dengan menggunakan logik akal.

Kalau agama tak boleh pakai logik akal, ertinya semakin tak pakai akal maka semakin bagus pemahaman agama seseorang. Maka nampaknya pemahaman itu membawa kepada aktiviti melahirkan manusia beragama yang tinggi keupayaannya untuk tidak menggunakan akal.

Apa lagi yang nak membezakan antara manusia dengan haiwan kalau bukan dengan keupayaan menggunakan akal yang waras dan cerdas? Kalau akal tak diperlukan dalam beragama, maka agama sudah tentu lebih sesuai untuk haiwan sahaja.

Perlu kuatkan jiwa dengan kritikan

Bila dah mula neutral melihat semua pandangan, maka sudah tentu pandangan akan kelihatan berubah-ubah. Kadang kala nampak macam sokong PKR, kadang kala nampak sokong Bersatu, PKR atau DAP.

Jadi macam tu sebab saya hanya mahu lihat pandangan yang diutarakan secara logik berdasarkan isu. Tak kisah siapa yang kata.

Jadi bila tak seiring dengan PAS, maka akan ada wira papan kekunci PAS yang akan tabuh teruk pendapat saya. Diserangnya peribadi dan diperlekehkan apa yang ditulis. Macam tu juga kalau pandangan itu bertentangan dengan PKR, akan kena tabuh pulak dari puak PKR dan begitulah kena tabuh silih berganti.

Bagus juga jadi macam itu. Baru saya sedar bahawa bila nak bercakap pasal politik, jiwa mesti kental dan sedar akan sentiasa ada orang yang tunggu nak tabuh segala pendapat yang saya utarakan bila tak seiring dengan pendapat mereka.

Kalau mereka berikan hujah bila menyerang pendapat saya, maka alhamdulillah. Bolehlah saya cuba belajar dan fahamkan hujah mereka itu. Mungkin ada perkara baru yang boleh saya belajar yang mampu mengubah pendapat saya.

Tapi kalau sekadar serangan peribadi saya dengan kata-kata bodoh, stupid, moron atau sebagainya. Saya hanya mampu senyum dan maafkan saja. Tak perlulah nak layan serangan macam itu sebab mereka hanya mahu serang peribadi dan bukannya nak kongsikan pemikiran atau ilmu serta hujah yang mereka ada.

Tak ada apa-apa yang saya boleh belajar dari golongan macam itu selain dari melatih diri untuk berjiwa kental diserang.

Left Group bila kena kritik

Saya tulis isu jiwa kena kental kalau nak cakap pasal politik ni disebabkan pengalaman lihat kawan-kawan yang nak berjuang tapi jiwa kecil dan tidak kental.

Politik adalah perjuangan fahaman. Sama juga dengan perjuangan bangsa Melayu, sama juga dengan perjuangan agama Islam. Bila nak libatkan diri dalam mana-mana perjuangan tersebut, perlu bersedia untuk jadikan jiwa kuat dan tak mudah merajuk.

Ada ramai kawan-kawan yang bila masuk dalam group Whatsapp suka sangat kongsikan isu panas melibatkan agama dan bangsa. Ertinya mereka mahu turut sama berikan sumbangan untuk sebarkan pandangan agama atau bangsa yang mereka anuti.

Tapi bila ada kawan yang berbeza pandangan berikan kritikan, maka dengan lemah jiwanya terus left group. Siap merajuk..

"Kalau memperjuangkan bangsa sendiri dikatakan fanatik, terima kasih sajalah.. "

Terus left group.

Eh! awat kerdil sangat jiwa?

Kata nak berjuang?

Ada juga kawan-kawan yang jarang tulis dalam whatsapp. Tiba-tiba bila tulis, terus bab politik. Siap maki parti itu dan ini celaka, biadap, babi dan segalanya. Bila ada yang tegur sikit, bukan tegur apapun. Disarankan supaya tenang dan elakkan provokasi.

Betullah teguran tu. Tapi terus merajuk dan terus left group...

Kata nak perjuangkan bangsa. Dah kena serang sikit, kena tegur sikit dah tak boleh terima. Macam mana nak jadi pejuang?

Nak perjuangkan apa-apa ideologipun boleh saja. Perlu kuatkan jiwa. Perlu pastikan masa dan ketika yang sesuai untuk diutarakan. Perlu ada kebijaksanaan untuk sampaikan dalam ayat yang terbaik dan berhikmah.

Bila kena kritik, relaks dan hadam saja kritikan tersebut. Tanya lagi kalau tak faham kritikan tersebut. Balas dengan hujah kalau masih yakin betul. Semua perlu dibuat dengan jiwa yang tenang dan terbuka.

Yang pentingnya, jangan left group kalau nak berjuang. Jangan tunjukkan jiwa kecil. Jangan tunjukkan pendapat yang diutarakan hanya ikut-ikutan tanpa memahami kepala dan ekornya. Barulah akal dapat diasah untuk dipergunakan sebaik mungkin.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Kalau nak berpolitik jiwa mesti kental kuat dan tahan dengan kritikan

Previous
« Prev Post

3 comments:

  1. yang ni saya sokong...non partisan akan nampak lebih jelas dan tenang menyokong atau membantah...

    ReplyDelete
  2. Menjadi t/jawab ibubapa membemtuk keluarga memahami sesuatu isu kepada hujah,fakta dan berita dari pelbagai sumber dan pandangan,kalau utk menaikan pandangan tinggi terhadap bangsa melayu

    ReplyDelete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !