Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Thursday, May 28, 2020

Buku Indahnya Hidup Bersyariat, Tulisan Arwah Dato' Ismail Kamus yang perlu anda miliki

  Mohd Shubhi       Thursday, May 28, 2020

Sebagaimana yang semua dah sedia maklum, Ustaz Dato' Haji Ismail Kamus DSSA (Selangor), telahpun pergi meninggalkan semua pada bulan puasa baru-baru ini.

Bertepatan 15 hari kita berpuasa, iaitu pada 15 Ramadan, bersamaan 8 Mei 2020. Beliau meninggal dalam usia 72 tahun dan diumumkan dalam Facebook rasmi beliau di sini.

Banyak keberkatan yang beliau perolehi. Meninggal dalam bulan puasa. Juga pada hari jumaat. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas Rohnya dan ditempatkan bersama-sama dengan mereka yang mulia di sisi Allah. insyaallah.

Berita palsu kematian Ismail Kamus

Sebelum Ustaz Dato' Haji Ismail Kamus benar-benar meninggal dunia, saya secara peribadi dah beberapa kali mendapat perkongsian berita palsu dalam grup whatsapp.

Mesej yang memaklumkan kononnya Ustaz Dato' Haji Ismail Kamus telah meninggal dunia.

Bila disiasat dan di cari maklumat lebih lanjut ternyata yang berita itu adalah tidak benar sama sekali. Entah apa tujuan maklumat tak betul disebarkan macam itu saya pun tak berapa nak paham.

Sama saja kepada yang asal menyampaikan secara verbal, kemudian kepada yang mula menaip ayat lalu kongsikan maklumat tak betul pasal kematian tu. Sama-sama bebal dan terlalu lalai. Tanpa semak terus kongsikan.

Kemudian bila ramai yang dapat maklumat palsu tu, terus pulak kongsikan tanpa siasat terlebih dahulu. Semuanya sama bebal dan lalai.

Seorang kawan yang turut sama share maklumat kematian Ustaz Dato' Haji Ismail Kamus sebelum betul-betul meninggal ketika saya tanya kenapa dia share tanpa semak. Dia jawab biasanya bab kematian takkan orang nak main-main pulak.

Memang betul alasan dia tu.

Hanya orang tak berapa nak centre akalnya akan main-main share berita kematian palsu. Jadi bila dapat saja maklumat kematian, laju saja akan share untuk makluman kawan-kawan.

Lagipun Ustaz Dato' Haji Ismail Kamus merupakan seorang ulamak terkenal. Tentu ada sedikit mileage kepada yang paling awal mengetahui tentang kematian dia. Tentu bukan calang-calang yang dapat tahu maklumat penting sebegitu sedangkan yang lain tak tahu.

Saya rasa sebab itulah laju saja orang share berita kematian pasltu terhadap mereka yang terkenal. Nak jadi yang pertama lebih dahulu tahu dari semua orang lain.

Siapa Ustaz Dato' Haji Ismail Kamus

Terus terang saya tak berapa kenal Tuan Guru dan pendakwah terkenal Ustaz Dato' Haji Ismail Kamus ni. Malah sekalipun tak pernah dengar kuliah atau penyampaian ilmunya secara life.

Dalam media sosial juga tak pernah. Dalam radio atau TV juga tak pernah. Memang saya jarang nak dengar ceramah di radio atau TV. Juga jarang nak layan ceramah secara life di masjid atau surau. Kalau dah tersangkut duduk antara magrib dan insya tu, akan layanlah.

Saya lebih cenderung untuk ikuti kuliah tetap yang bersiri. Belajar secara agak formal dan bukan secara ceramah sentap yang biasanya hanya kulit umum sahaja yang akan dikutip manfaatnya. Bukan pemahaman secara betul dan jitu.

Bila saya mula mencari maklumat lebih mendalam pasal Ustaz Dato' Haji Ismail Kamus, baru saya perasan yang beliau juga aktif dalam politik. Pernah bertanding dan menang pun dalam pilihanraya tahun 1999 di Gombak Setia di bawah tiket PAS.

Pada tahun 2004 beliau bertanding lagi untuk DUN dan Parlimen, tapi kedua-duanya kalah. Juga di bawah tiket PAS. Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai ahli jawatan kuasa PAS pusat.

Saya tahu yang Ustaz Dato' Haji Ismail Kamus merupakan pengamal kepada perubatan Islam. Dan dari carian maklumat juga baru saya tahu yang dia menuntut pasal perubatan Islam ni dari Tuan Guru Prof. Datuk Dr. Haron Din, juga dah meninggalkan kita.



Beli buku Indahnya Hidup Bersyariat

Satu-satunya masa yang saya mula mencari maklumat pasal Ustaz Dato' Haji Ismail Kamus ni adalah ketika nak cari satu buku atau kitab yang menghimpunkan semua amalan fardu ain lengkap orang Malaysia yang lazim di amalkan oleh majoriti.

Bila tanya kawan-kawan, kebetulan dia syorkan suruh beli buku tulisan Ustaz Dato' Haji Ismail Kamus bertajuk Indahnya Hidup Bersyariat.

Buku itu menghidangkan maklumat lengkap fardu ain siap bergambar. Ia merupakan modul fardu ain untuk diri sendiri, untuk keluarga dan juga untuk masyarakat.

Saya pergi cari jumpa dan terus beli. Memang sangat membantu untuk orang awam yang jahil macam saya ni.

Semua wajib dan sunat ada dalamnya

Perkara utama yang saya nak rujuk dan nak amalkan adalah dalam bab wirid setiap kali selesai tunaikan solat fardu. Wirid yang biasanya waktu magrib paling panjang. Itu dari pengalaman saya selalu solat berjemaah di masjid sejak kecil ke zaman muda di kampung dulu.

Bila wirid, seronok tengok orang-orang tua masjid goyang badan lentuk dengan asyiknya sambil berwirid. Saya akan perembang telinga dengar apa yang mereka baca dan mulut akan kumat kamit ikut seolah-olah saya juga menghafalnya.

Memang ada ayat yang saya boleh baca.

Bila mereka sebut ayat awal, saya boleh sambut dan baca sampai habis. Tapi kalau mereka tolak saya naik jadi imam, kemudian nak kena kepalai wirid macam yang para tok imam masjid saya ketuai versi yang panjang tu, saya akan lari terjun kolah masjid dulu sebab memang tak hafal mana awal mana akhir.

Sebab itu setiap kali orang tolak untuk saya naik jadi imam, saya akan pertahankan sampai ke titisan peluh terakhir untuk menolaknya. Biarlah apa orang nak kata, saya tak kisah. Hakikatnya saya sedar diri yang saya memang tak layak lansung untuk jadi imam.

Tak layak sebab banyak benda, banyak amalan, banyak wirid dan banyak surah yang lansung tak hafal. Kalau hafal pulak, tak tahu susunan mana satu dahulu mana satu kemudian.

Walaupun saya tahu semua itu sunat sahaja. Tak baca tak apa dan tak ada kena mengena dengan syarat sah solat dan syarat layak dan sesuai nak jadi imam. Tapi saya juga tahu masyarakat kita tak iktiraf mereka yang hafal segala doa dan wirid untuk dijadikan imam.

Wirid selepas solat halau gangguan jin

Satu lagi yang penting kenapa saya cari dan mula amalkan panduan wirid selepas solat fardu dari buku Indahnya Hidup Bersyariat itu adalah kerana nak berubat.

Ada sekali tu saya kena gangguan makhluk halus setelah balik dari duduk dalam hutan selama 4 hari 3 malam. Jatuh sakit dan pergi dua tiga doktor sehingga ke pusat rawatan di hospital serdang semuanya kata saya sihat tak ada apa-apa masalah.

Saya secara fizikal memang nak berdiripun tak boleh. Badan habis naik berbiji macam kena demam campak. Badan sekejap sejuk sekejap panas ke tahap yang ekstrem. Tapi bila doktor check, siapa ambil darah dua tiga kali, sah tak ada apa-apa masalah lansung.

Jadi saya terus usahakan perubatan Islam. Alhamdulillah Ustad yang bantu saya tu akhirnya selesaikan semua masalah yang timbul. Tapi ambil masa lebih dari 2 minggu juga setiap hari pergi jumpa dia. Dan akhirnya saya disuruh oleh Ustaz yang bantu tu untuk lengkapkan perubatan dan rawatan sendiri-sendiri sahaja dengan amalkan semua wirid selepas solat fardu.

Buku tulisan Ustaz Dato' Haji Ismail Kamus tulah yang membantu saya beramal sebab boleh buka dan baca depan mata.

Dari muka buku tersebut, ada dua penulis yang menyumbang terbentuknya kitab atau buku amalan kehidupan beragama itu. Ustaz Dato' Haji Ismail Kamus, dan seorang lagi yang bernama Mohd Azrul Azlen Ab Hamid.

Kepada yang berminat nak beramal dan tahu macam mana amalan yang lazim dilakukan oleh kebanyakan orang Islam di negara kita, eloklah pergi cari senaskah dan beli untuk dijadikan sebagai koleksi di rumah.

Tak rugi untuk beli dan baca.

Tapi jika anda memang dah pandai dan mendalami jurusan keagaamaan. tentu tak memerlukannya lagi.  Moga perkongsian ni bermanfaat.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Buku Indahnya Hidup Bersyariat, Tulisan Arwah Dato' Ismail Kamus yang perlu anda miliki

Previous
« Prev Post

2 comments:

  1. Buku "Indahnya hidup bersyariat" adalah panduan fardhu ain yg agak lengkap dan cantik berilutrasi, dan bnyk panduan berguna, saya beli beberapa kali sbg hadiah perkahwinan anak anak buah saya.

    Satu lg buku panduan fardhu ain yg juga agak lengkap, elok juga dibaca sbg panduan hidup, tp tidak dgn ilustrasi, boleh guna utk bimbingan anak anak dlm rumah, tulisan Ust Sulaiman Endut, "Asas asas fardhu ain".

    Dua buku ni patut diguna oleh para ust dan ustzh yg ngajar asas fardhu ain di masjid masjid dan surau surau.

    Pndgn saya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas maklumat buku tulisan Ustaz Sulaiman Endut tu ya Anon. Insyaallah nak pergi cari nanti.

      Delete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !