Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Monday, June 1, 2020

4 perkara tentang pilih pasangan yang saya harap orang ajar saya sebelum berkahwin dulu

  Mohd Shubhi       Monday, June 1, 2020

Dengan siapa dan bila anda berkahwin ni masuk dalam bab jodoh. Apa yang anda dapat, macam mana pasangan, bagaimana kehidupan rumah tangga dari hari pertama sampai sekarang, semua itu tak boleh nak dielakkan lagi.

Apa yang dah ada itulah yang anda perlu terima. Baik atau buruk, suka atau tak suka. Bahagia atau terseksa. Semuanya asam garam dalam kehidupan. Tak payah nak menyesal dan tak payah nak mengeluh.

Apa yang anda boleh buat hanyalah melakukan catitan pengalaman. Senaraikan segala pemerhatian dan pemikiran yang dapat dirumuskan dari semua perjalanan tersebut.

Orang yang berjaya berpesan. Sangat rugi kalau anda lalui satu pengalaman tanpa dapat pelajari apa-apa pun dari perjalanan yang dah ditempuh itu. Renung dan buat refleksi semua yang dah ditempuh.

Itu salah satu ciri asas orang yang serius mahu menjadikan dirinya hari ini, lebih baik dari semalam.
Itulah yang saya cuba buat kat sini.

Macam mana nak pilih pasangan

Saya cuba toleh ke belakang. Lihat apa yang boleh dipelajari dalam bab memilih pasangan. Ini bukan perkara main-main. Sebaik saja berkahwin, masa anda akan habis untuk bersama dengan pasangan. Membina kehidupan bersama, susah senang bersama.

Moga orang muda yang masih belum berkahwin dapat serap sesuatu yang berfaedah untuk dijadikan pedoman buat memilih pasangan hidup mereka nanti.

Saya kongsikan apa yang saya harapkan orang lain beritahu saya dahulu sebelum saya berkahwin.

Bila difikirkan balik. Sebenarnya, memang dah diberitahupun. Tapi semuanya main ambil alai balai, kata orang utara. Tak berapa nak ambil serius segala yang dah dipesan tu.

Pesanan pulak dapat dalam bentuk yang formal. Belajar dalam bab munakahat. Konsep belajar bukan untuk diamalkan seperti yang berlaku dari darjah satu sampai tingkatan 5 melekat dalam diri. Jadi hampir semua ilmu formal akan dibuat endah tak endah.

Sekarang bila dah tua, baru nampak semua itu. Jadi rasa sangat rugi kalau tak kongsikan. Rugi kalau pendam dan bawa masuk dalam kubur begitu saja.

Jom kita tengok apa yang anda perlu lihat dalam bab memilih pasangan hidup. Saya lihat dari perspekstif seorang lelaki sebab saya lelaki. Samada boleh disesuaikan untuk orang perempuan saya tak pasti. Baca dan lihatlah sendiri pada kesesuaiannya.

1. Rupa paras dan penampilan

Ini perkara pertama sekali kita lihat pada pasangan. Rupa paras dan juga menampilan seseorang itu jadi tarikan utama yang membuatkan kita mula atau cuba nak mendekati pasangan.

Ada orang kata dia jatuh cinta pandang pertama. Bayangkan bagaimana dengan hanya pandang sahaja. Tak berbicara, berbual panjang lagi dah terus jatuh cinta. Cukup sekadar melihat rupa parasnya, kelibat dan gaya serta penampilan dah membuatkan timbul rasa berkenan.

Kalau jadi macam itu, maka betullah tu. Memang itu dah memberikan penunjuk bagaimana rupa paras dan penampilan yang dirasakan sesuai untuk anda tertanam dalam minda selama ini. Terbentuk hasil dari segala kenangan dan ajaran serta pemerhatian selama ini.

Bila anda lihat dan jatuh hati. Itulah rupanya tafsiran apa yang disimpan.

Cukupkah dengan hanya lihat pada rupa paras dan penampilan ini untuk buat keputusan sesuai atau tidak?

Sudah tentu tak cukup.

Tapi mesti ada rasa selesa dan suka. Kalau ini tak ada, ia akan berikan kesan sedikit sebanyak sepanjang hidup bersama nanti terutamanya di peringkat awal hidup bersama. Jadi perlu berikan pertimbangan ini untuk buat pilihan.

Ada nasihat, suruh kita tekan saja keinginan hati dalam bab rupa paras dan penampilan ni. Pilih yang lebih utama dari segi perkara lain. Saya tak setuju sebab itu cubaan ambil risiko yang tinggi. Dah tahu diri lemah, namapun manusia. Kenapa nak lalui juga jalan yang sukar?

Orang yang bijaksana adalah mereka yang mengelak dari jalan yang bakal timbulkan masalah. Tak payah nak perasan diri hebat jiwa tahap Wali. Elak saja kalau tahu di depan ada masalah.

Dari pengalaman, saya belajar satu perkara penting dalam bab rupa paras dan penampilan ni. Secara umumnya semua perempuan tu cantik. Kalau cukup lengkap semua anggota tubuh badan, maka memang tak ada apa pagi yang dapat halang untuk dia jadi cantik.

Kecantikan dan daya tarikan perempuan semuanya ada kaitan dengan keupayaan untuk melahirkan zuriat keturunan. Jadi untuk kelihatan cantik, perempuan hanya perlu pastikan diri mereka bersih dan segar. Mudah.

Itu saja yang akan membuatkan perempuan terus menonjol. Kalau muka lawa macam manapun, hidung mancung, mata bulat, pipi merah, tapi kalau pengotor, nampak kusut masai, kecantikan itu akan terus terpadam.

Bab ni saya rasa sama saja untuk lelaki.

Jadi jangan cepat, terus buat keputusan bila melihat seseorang yang anda rasa tak ada rupa paras yang menawan. Jika kebetulan masa itu dia berada dalam keadaan yang tidak membolehkan dia memelihara kebersihan dan kesegaran dirinya. Itu tidak semestinya menunjukkan dia tu tak ada rupa paras yang baik.

2. Keturunan, kebudayaan serta tradisi

Keturunan ini ada banyak kriterianya. Termasuklah dalam bab genetik yang membentuk perangai, tahap kesihatan, amalan kebiasaan dan lain-lain.

Keturunan juga melibatkan perkara seperti bangsa dan etnik. Macam Bangsa Cina, Melayu atau Siam, atau Mat Saleh. Jangan buat sambil lewa terhadap perkara ini sebab ia membentuk cara berfikir dan bertindak bila dalam keadaan spontan.

Kena ambil tahu beza antara bangsa-bangsa yang ada untuk dibuat pertimbangan samada anda mahu atau tidak keturunan selepas anda nanti ada bawa susur galur macam itu.

Keturunan juga melibatkan penyakit. Macam keluarga saya sebelah ayah hampir kesemuanya ada masalah jantung. Nasib baik sebelah Mak jenis tak ada penyakit macam tu.

Ambil tahu semua bab itu supaya tak gabungkan semua genetik yang maksimum bermasalah masuk jadi keturunan yang akan anda tinggalkan pula. Biarlah seimbang dan jauh dari risiko penyakit yang tinggi.

Contohnya, kalau dah tahu keluarga anda ada jenetik masalah jantung, janganlah gabungkan dengan pasangan yang turut sama da masalah yang sama. Semakin besarlah potensi anak-anak akan bawa masalah itu nanti.

Keturunan juga melibatkan satu amalan atau budaya yang diperturunkan dari generasi ke satu generasi. Keturunan yang baik-baik biasanya mereka yang berjaya membentuk satu budaya amalan yang baik dan dipelihara dengan bersungguh-sungguh.

Jadi tengok bagaimana budaya amalan pasangan anda. Terutamanya tengok amalan budaya keluarga bakal pasangan anda. Adakah mereka mempunyai satu tradisi yang baik dan dipegang kukuh atau tidak.

Kalau lansung tak ada satu budaya amalan atau radisi yang baik, memang anda juga akan hasilkan satu lagi keluarga yang tak ada apa-apa amalan dan tradisi yang boleh dibanggakan. Nak buat dari kosong memang agak sukar.

Apatah lagi kalau budaya yang ada adalah sesuatu yang sangat buruk. Seperti budaya suka berkelahi dan berpecah belah. Suka bergaduh dan tidak suka bantu membantu serta berpuak-puak. Memang ada keturunan yang macam itu yang amalannya turun menurun ke bawah sampai ke anak cucu.

Dalam bab ni, orang tua-tua kita dulu sangat ambil berat. Mereka akan siasat betul-betul. Itulah tujuan merisik. Pi tanya orang kampung yang kenal keluarga yang kita nak meminang.

Mereka siasat siapa jirannya. Siapa kumpulan kawan-kawannya. Siapa tok nenek mereka dan sebagainya.

Tapi malangnya amalan itu dah tak diamalkan lagi sekarang. Kebanyakannya main bedal saja. Tak perlu susah-susah nak siasat. Kononnya perlu bersikap terbuka dan sebagainya. Sedangkan semak dan berhati-hati itu bukan niat untuk bersikap tertutup atau nak hukum orang.

Tapi sekadar nak tahu lebih lanjut dengan siapa kita berurusan. Senang untuk berhadapan jika berlaku apa-apa nanti sebab dah kenal dan boleh jangkakan kecenderungan masing-masing.

3. Harta dan kekayaan

Bagi orang yang ada budaya dan amalan baik, harta dan kekayaan adalah ganjaran yang biasanya mereka akan dapat. Samada cepat atau lambat saja. Tapi biasanya, itulah hasilnya, buat mereka yang punya amalan kebaikan atas mukabumi ini.

Begitu juga bagi keluarga dari keturunan yang baik-baik. Mereka yang ada amalan tradisi yang dipelihara terjaga dengan kukuh, biasanya sempat buat semua itu seandainya ada harta benda yang mencukupi untuk menjalani kehidupan yang selesa.

Jadi, harta benda dan kekayaan dengan keturunan dan amalan tradisi kekeluargaan adalah sangat berkait rapat.

Kalau kita lihat secara terbalik. Mereka yang ada harta kekayaan yang mencukupi dan terjaga dengan baik, tandanya mereka sudah tentu punya susunan amalan tradisi yang baik juga. Sebab itu harta menjadi salah satu kriteria yang dapat membantu kita buat pemilihan terhadap pasangan.

Bukan tak boleh kahwin orang susah. Tapi perlu dilihat tahap kesusahan mereka. Kenapa jatuh susah dan dah berapa keturunan, atau berapa lama mereka hidup dalam keadaan tersebut.

Jika generasi demi jenerasi hidup susah, tentu ada sesuatu yang tak kena dengan amalan tradisi atau keturunan itu. Ada yang disebabkan faktor dalaman. Ada juga yang disebabkan faktor luaran tak dapat dikawal. Semak dulu betul-betul.

Bolehkah anda sesuaikan diri kalau dah tahu ada masalah. Jika anda juga susah bukan dari kalangan orang yang ada tradisi dan harta kekayaan yang baik, mampukah anda buat sesuatu untuk ubah semua itu.

Atau mungkin anda rasa itu selesa. Hidup susah sampai ke anak cucu tak perlu ada harta dan kekayaan. Kalau macam itu tak apalah. Boleh teruskan. Tapi kalau anda ada niat untuk ubah cara dan gaya hidup keturunan anda, harta kekayaan penting untuk dilihat.

Macam saya kata tadi. Anda tak ada masa untuk bina amalan budaya dan tradisi keluarga yang tersusun dengan baik seandainya hidup tak cukup makan dan susah melarat.

Adalah normal untuk cari makan supaya mencukupi terlebih dahulu. Dapat belanjakan pendapatan yang ada untuk pendidikan, kesihatan serba asas terlebih dahulu. Bila semua itu dah ada barulah ada keupayaan untuk lihat urusan seterusnya seperti seni, erkembangan amalan tradisi serta budaya hidup yang lebih tersusun.

4. Pegangan ideologi atau agama

Ini biasanya akan sempurna selepas selesai semua perkara asas di atas. Ada lingkungan keluarga dan masyarakat yang baik. Ada harta benda yang mencukupi. Maka perjuangan pegangan hidup dan ideologi dapat dikembangkan.

Jika mereka punya pegangan ideologi yang baik dan terjaga dalam keadaan kaya, maka baguslah tu. Itu sangat penting sebab ternyata kekayaan dan keturunan yang baik tidak menghalang mereka untuk terus berpegang kepada pegangan, prinsip hidup dan ideologi yang baik.

Tetapi, jika seseorang itu hidup susah serba kekurangan. Bukan dari keturunan yang berjaya dan baik.Tidak punya rupa paras yang baik. Dalam masa yang sama punya pegangan prinsip hidup dan ideologi yang tetap juga baik. Ternyata mereka perlu dihargai sebab apa yang berlaku pada diri mereka dan keluarga tidak menghalang untuk mereka kukuh berpegang pada ideologi dan kepercayaan yang baik.

Jadi bab ideologi, pegangan, agama atau yang seumpamanya ni sebenarnya adalah asas yang sangat penting. Boleh bergerak secara berkecuali tanpa melihat semua perkara kat atas tu. Ia adalah 'independent'.

Sebab itu kita dinasihatkan dalam kesemua perkara, dalam menentukan memilih pasangan, lihatlah pada perkara ini dalam menentukan keputusan akhir kita. Memang sangat tepat sekali nasihat ini.

Inilah yang akan menentukan prinsip hidup sesebuah keluarga dalam membuat keputusan akhir dan genting. Kalau ini rosak, habis semua yang kat atas tu akan turut sama rosak.

Jadi lihat dan selidik betul-betul bab pegangan atau ideologi ini. Tengok keluarga mereka. Tengok dengan siapa mereka bekerjasama. Tengok siapa mereka sokong. Semua itu akan dapat memberikan gambaran dengan kumpulan ideologi macam mana kita berurusan.

Demikianlah serba ringkas apa yang nak saya kongsikan kepada mereka yang masih muda dan sedang berfikir untuk mencari dan menentukan siapa pasangan hidup mereka.

Moga ada manfaatnya.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, 4 perkara tentang pilih pasangan yang saya harap orang ajar saya sebelum berkahwin dulu

Previous
« Prev Post

2 comments:

  1. Nak jodoh yg baik, kita dulu kena perbaiki diri, kemudian mintalah kpd Allah swt. Bila diberi pilihan, dahulukan yg Allah swt dan RasulNya suka, kemudian barulah yg kita suka. Dan jgn lupa, amalkan doa "Rabbana hablana min azwajina wa zurriyatina qurratu a'yun wa ja'alna lil muttaqina imama".

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya tak ya juga kan. Kenalah diri sendiri tu baik terlebih dahulu. Nasihat yang sangat baik. Terima kasih ya Anon, sudi kongsikan

      Delete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !