Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Saturday, December 25, 2021

Selesai separuh dari masalah sakit pinggang bawah anda dengan tahu tentang LORDOSIS

  Mohd Shubhi       Saturday, December 25, 2021


Dah lama saya letakkan minat terhadap masalah sakit pinggang ni sejak ia datang pertama kali lebih 10 tahun yang lalu.

Kali pertama sakit pinggang muncul ketika saya angkat guni beras. Masa tu saya terlibat bantu pulihkan syarikat jual beras Jepun kawan di Ampang. 

Tugasan penting yang kawan bayar untuk saya selesaikan adalah untuk ubah syarikat berasnya dari hampir tidak menguntungkan kepada untung.

Memang itu kepandaian yang saya berjaya bina sejak mula berniaga dahulu. Jadi pandai sikit sebab saya sering diminta kawan-kawan lain yang ada masalah kewangan dalam bisnes untuk bantu mereka.

Asalnya saya pun tak tahu macam mana nak buat. Tapi kawan-kawan taruh kepercayaan dari cara saya jalankan bisnes saya sendiri. Bisnes yang saya ambil alih, yang hidup segan mati tak mahu, lalu saya ubah jadikan ia bisnes yang menguntungkan.

Testimoni yang kawan-kawan semua tengok sendiri.

Setiap kali masuk syarikat bermasalah, apa yang saya buat hanya melihat cash flow bisnes mereka sahaja. Kalau tak ada, saya akan adakan dengan korek semua maklumat dan rekod duit masuk dan keluar bisnes mereka.

Dari sejarah cash flow sekurangnya setahun yang sudah, saya dapat baca apa yang tak kena.

Lepas tu buat unjuran ke depan untuk ubah cara mereka jalankan bisnes supaya untung. Paling asas adalah cuba kurangkan kos dan tingkatkan samada harga atau push kepada jualan produk yang lebih menguntungkan.

Berbalik kepada kisah kilang beras kawan di atas, itulah yang saya buat. Kurangkan segala kos tak perlu yang lansung tidak berikan apa-apa manfaat kepada bisnes samada jangka endek atau jangka panjang.

Salah satu tindakan yang saya buat adalah tutup pejabat dan gudang untuk disatukan dengan kilang yang ada. Kenapa nak asingkan antara kilang dengan pejabat syarikat. Perjalanan bisnes lebih lancar dan berkesan bila semuanya duduk bawah satu bumbung.

Itulah sebabnya saya kena angkat guni penuh berisi beras.

Nak jadikan cerita, ketika angkat satu guni tu, berlaku bunyi meletup kuat pada tulang belakang bahagian bawah. Samada kuat atau tidak sampai orang lain boleh dengar saya tak pasti. Tapi saya sendiri rasa macam kuat.

Sebaik saja meletup, saya terus tak dapat berdiri tegak. Kena bongkokkan badan kebawah dan senget sebelah kanan untuk hilangkan rasa sakit yang tersangat kuat di bahagian pinggang bawah tu.

Itu kali pertama saya kenal sakit pinggang.

Dapatkan rawatan sakit pinggang

Memang dari zaman kanak-kanak kampung dulu lagi. Bab tulang sakit lenguh, terseliuh dan sebagainya, orang yang dicari adalah tukang urut atau bomoh patah.

Itulah yang saya buat masa tu. Tak terlintas bahawa ada lagi cara lain yang jauh lebih berkesan melalui perubatan moden.

Jumpa seorang Wak kat area Gombak belakang Kampung Nahkoda sana. Kawan saya yang bawa. Katanya Wak tu sangat hebat. Orang yang kemalangan sampai patah remuk tulang belulang, bawa jumpa Wak, settle.

Selepas jumpa Wak, oklah sikit. Dah dapat tegakkan badan semula dan rasa sakit mula berkurangan.

Tapi semua itu tak lama.

Salah duduk, salah berdiri, salah angkat, semuanya buatkan sakit tu datang balik. Macam tulah berterusan dan pergi jumpa tukang urut dari seorang ke seorang setiap kali timbul semula masalah.

Dipendekkan cerita, saya mula cari lagi maklumat pasal bab tulang ni lalu baru terbuka mata tentang fisioterapi, kiropraktik dan seupamanya.

Saya cari cara senaman untuk pulihkan keadaan jangka panjang agar semuanya tidak berupang semula.

Semua tu dibuat dalam keadaan selesaikan masalah saja. 

Kenapa boleh berlaku masalah sakit pinggang bahagian bawah tu masih tak faham-faham. Malah tak tergerak untuk ambil tahu pun.

Berkenalan dengan Lordosis

Hanya baru-baru ini saya dapat satu buku yang bagus tentang masalah sakit leher, sakit tulang belakang dan sakit bahu.

Buku itu saya jumpa sebab tengah cari solusi terhadap masalah bahu la pulak. Terjumpa buku lengkap yang sangat membantu.

Untuk yang berminat, boleh cari buku bertajuk "7 Steps To A Pain-Free Life" tulisan Robin McKenzie.

Semua maklumat penting ada dalam buku tu diterangkan secara mudah dan praktikal. Siap sekali dengan gambar dan cara senaman yang perlu dilakukan. Juga cara duduk cara berdiri dan cara tidur yang akan bantu anda bebas dari semua masalah tersebut.

Faham Lordosis, selesai separuh masalah

Tujuan saya tulis artikel ni nak kongsikan apa yang saya dah faham tentang tulang belakang. Terutamanya bahagian bawah.

Faham perkara ini, buatkan anda mampu dengan lebih mudah atasi dan elakkan masalah sakit pinggang dari datang berulang.

Paling penting dapat hilangkan rasa risau ketakutan sebab berhadapan dengan musuh yang tidak difahami.

Ok!

Saya terangkan dengan cara paling mudah saja.

Pertama sekali, anda perlu tahu yang tulang belakang bukannya lurus macam pembaris.

Bentuknya jika dilihat dari bahagian tepi tubuh badan anda, ada 3 lengkungan. Kalau tengok dari belakang, satu lengkungan kecil masuk ke dalam ada pada leher.

Lepas tu satu lengkungan sikit keluar di bahagian atas belakang anda.

Selepas tu, masuk pula ke dalam sikit satu lagi lengkungan di bahagian bawah belaang anda. Atas kepada punggung boleh nampak lengkungan yang masuk sikit ke dalam tu.

Memang macam itulah kedudukan normal bentuk tulang belakang.

Pada sekeliling tulang tu ada otot, ligamen, tendon, urat saraf dan serba tok nenek lagi yang saya pun tak faham. Saya bukan doktor dan tak belajar pun pasal semua benda tu. Jadi sila buat rujukan dan cari maklumat sendiri supaya lebih tepat jika nak tahu lebih lanjut.

Lengkungan masuk sikit ke dalam pada bahagian bawah tulang belakang itulah yang dipanggil sebagai Lordosis.

Semua masalah berlaku kat kawasan lordosis tu adalah berpunca dari kawasan tu banyak digunakan hingga hilang bentuk melengkung itu.

Jika anda bongkok, lordosis tu akan hilang bentuknya. Jadi melengkung ikut keadaan bongkok anda tulah.

Bila duduk atas kerusi, tunduk dada melengkung ke depan. Dalam keadaan macam tu lordosis juga akan hilang.

Lordosis hilang bermakna kedudukannya tidak berada dalam keadaan normal. 

Jika ia dilakukan dalam tempoh masa yang lama, habis letih, stress, kejang segala otot buat kerja kat area tu. Maka itulah punca datangnya sakit kat bahagian tu.

Contoh mudah untuk faham, cuba depa tangan ke depan dengan tegakkan jari semua ke atas. Tarik salah satu jari, jari hantu katakan.

Kekal tarik kejang sebegitu dalam tempoh masa yang lama. Anda akan rasa sakit pada bahagian sekeliling sendi jari kat paling bawah tepi tapak tu.

Sakit sebab semua bahagian kat otot dan lain-lain di situ ditarik lama. 

Bila dilepaskan semula, baru rasa lega tapi kalau anda biar lama masa tarik tadi, sakit akan kekal mungkin sejak dua baru lega balik. Sebab semuanya duduk dalam keadaan normalnya semula tanpa buat kerja.

Jika anda tarik sampai sakit ke belakang lagi, akan berlaku kecederaan dan ambil masa untuk pulih semula. Makan bulan baru lega balik.

Sekarang bayangkan apa yang anda buat pada lordosis kat atas punggung tu setiap kali tidur, duduk, tunduk, bengkokkan badan angkat guni beras dan seumpamanya.

Dah tentu sakit!

Sebab dia tidak duduk dalam keadaan normal.

Sebab itu duduk dalam kenderaan, memandu dalam tempoh yang lama, kerusi pulak  lurus bendul, anda akan rasa sakit kat area situ. Logiklah jadi macam tu. Sama macam anda tarik jari anda di atas tadi dalam tempoh masa yang lama.

Saya rasa dah boleh faham la kot!

Harap maklumat ini sedikit sebanyak membantu anda elakkan diri dari hidup dalam kesakitan pinggang.

Sumber gambar dari sini

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Selesai separuh dari masalah sakit pinggang bawah anda dengan tahu tentang LORDOSIS

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !