Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Saturday, September 3, 2022

Pembangunan di mana pejalan kaki tidak dialu-alukan - Pekan Penanti Bukit Mertajam

  Mohd Shubhi       Saturday, September 3, 2022


"Hang reti nak moto dak?"
Tanya Abang Joe.

"Aku tak pernah tengok hang naik moto pi kedai. Pi Masjid pun hang jalan kaki juga", sambungnya lagi.

Abang Johari tanya soalan di atas baru-baru ni ketika saya beli nasi lemak dan kuih di gerai sarapan paginya di Pekan Penanti.

Minggu lepas giliran saya balik kampung jaga mak di rumah. Duduk seminggu dari hari ahad sampai ke hari ahad berikutnya sebelum balik semula ke Selangor.

Kali ni saya balik naik bas saja. Lama dah tak merasa naik bas ekspress. Akhir sekali naik bas ketika belajar dulu. Dah berpuluh tahun. Teringin nak rasai perasaan teruja naik bas semula.

Masa bujang, balik naik bas masa cuti semester. Bas berpusat di Puduraya. Setiap kali naik akan rasa suspen sebab tak tahu siapa bakal jadi teman di kerusi sebelah. Kalau anak dara comel, rasa macam kena loteri. Tapi biasanya perasaan teruja tu sia-sia saja sebab sebaik saja duduk, terus tertidur sampai ke Butterworth. Lansung tak mengorat. Sekadar lagak macho masa nak duduk saja lepas tu hanyut!.

Balik baru-baru ni saya naik bas di Putrajaya Central. Dah tak sama macam dulu. Bas pun tak sampai 10 orang. Duduk seorang diri dari awal sampai habis. Tapi jauh lebih selesa berbanding balik dengan pandu kereta sendiri. 

Selain dari letih, poket juga kempis habis duit terpaksa bayar tol dan minyak petrol. Itu buruknya naik kenderaan sendiri. Tambahan pulak memandu secara solo. Tak berbaloi.

Bila dah tak ada kenderaan di kampung, maka suaka atau tidak, saya hanya jalan kaki saja. Ke kedai, masjid atau surau, semuanya jalan kaki.

Tapi, jika balik dengan kereta pun, saya lebih suka jalan kaki pergi ke kedai atau ke masjid. Lebih terasa nikmat kenangan masa lampau ketika jalan kaki.

Beza dulu dan sekarang

Zaman kecik dulu, memang jalan kaki dah jadi kebiasaan. Manakan tidak, basikalpun tak ada. Tak mampu. Satu hari, mak akan suruh pi kedai 2 atau 3 kali. Ada saja barang nak kena beli.

Orang susah macam kami tak ada keistimewaan borong barang dapur simpan stok dua atau 3 minggu. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Beli sikit-sikit ikut keberadaan duit masa tu.

Barang wajib macam beras, minyak, gula dan seumpamanya beli secara kredit. Nasib baik taukeh kedai melayu yang ada di pekan penanti masa tu izinkan berhutang. Bila ada duit, pergi bayar. Tapi taklah putus bekalan makan dengan adanya kemudahan kredit dari mereka.

Pekan Penanti masa tu sangat mesra pejalan kaki. Kaki lima sepanjang deretan kedai tu selesa untuk berulang alik naik dan turun dari satu kedai ke kedai lain. Boleh turun dan jalan kaki sampai ke Balai Polis.

Boleh terus ke Sekolah Penanti, naik atas lagi sampai ke Masjid lama. Malah nak jalan kaki sampai ke Pekan Bukit Mertajam pun boleh. Saya pernah buat kerja macam tu masa kecik dulu.

Keadaannya lansung tak sama macam sekarang. Dulu kenderaan jarang-jarang. Bas lori, kereta dan motosikal tak berapa banyak.

Sekarang, nak lintaspun susah. Motosikal tak putus-putus macam roket.

Setiap pagi, ketika saya keluar jalan kaki beli kuih tu, motosikal dan kereta penuh atas jalan. Masing-masing tak sabar nak pergi kerja. 

Ditambah lagi dengan keadaan Pekan Penanti yang pernah terbakar lama dulu, sampai sekarang tidak diusahakan baik pulih. Mana yang terbakar tu kekal begitu saja tak ada usaha pulihkannya.

Ruang jalan kaki tersekat. Ruang jalan raya pula dipenuhi kereta dan motosikal parkir. Memang rasa tersiksa menjadi seorang pejalan kaki di Pekan Penanti sekarang. Banyak selekoh yang bahaya untuk pejalan kaki jika tak tahu jalan pintas lalu celah rumah orang untuk pintas ke pekan baru di seberang sana.

Saya pernah komplen pasal selekoh di depan kedai hardware dan pusat tokong operara cina di atas sana. Ia jalan utama budak sekolah jalan kaki. Tapi lansung tiada ruang buat mereka. Tapi alamdulillah sekarang dah di bina runag itu.

Tapi takat itu saja. Tidak diusahakan secara menyeluruh di semua kawasan pekan yang ada.

Yang Berhormat mana pernah cuba jalan kaki di semua pekan kawasannya. Sebab itu dia lansung tak ada idea betapa pekan di bawah jajahannya macam sial layanan mereka terhadap pejalan kaki.


Bukan saja di Pekan Penanti. Malah hampir di semua pekan kecil dan besar di negara kita. Kononnya jalan kaki baik untuk kesihatan. Kempen kesihatan itu hanyalah untuk berikan duit buat projek kempen iklan saja. Tidak diterjemahkan dalam bentuk kemudahan buat pencinta jalan kaki.

Pejalan kaki majoritinya adalah orang gila saja yang pergi balik naik dan turun sepanjang pekan. Tapi dia sendiri tak selesa untuk merayau di pekan. Orang gila juga takut kena tibai dek kenderaan yang sangat sibut di mana-mana pekan yang ada di negara kita.

Jalan Kampung juga anti jalan kaki

Bukan saja keadaan di Pekan, malah dalam kampung juga pejalan kaki tidak dialu-alukan.

Jalan masuk dari jalan utama menuju ke pusat pengajian Ustaz Bakar di Kubang Semang tu juga dibina hanya untuk kenderaan. Kiri kanan jalan tempat orang punggai sampah.

Setiap pagi saya bersenam jalan kaki keliling kampung akan disiksa setiap kali ada kenderaan nak lalu. Semua orang tak mampu jalan kaki lagi sekarang. Mereka miskin masa. Hanya kaya harta buat sediakan segala kenderaan yang hanya kayakan pihak bank pemberi hutang saja.

Itulah harga sebuah pembangunan.

Pekan, Bandar dan Negara dibangunkan sebenarnya untuk memudahkan rakyat pergi kerja jadi hamba kepada semua pelabur yang masuk bina kilang tempat kerja mereka.

Itulah tujuan utamanya. Sebab itu mereka miskin masa. Rasa macam kaya harta, tapi duit yang dibayar untuk tugasan menjadi hamba kerja itu akhirnya guna buat beli barang yang mereka buat sendiri di kilang tadi. 

Tak sampai sebulan dah habis duit itu dibelanjakan untuk hidup dan sara anak-anak sekolah yang bakal digantikan jadi hamba ambil alih ibubapa mereka bila dah kerja nanti. Betapa manusia kena tipu hidup atas dunia sementara ini.

Jalan kaki ke mana saja hanya melambatkan proses pergi kerja. Semua kerja perlu pantas sekarang. Beli online hari ini esok perlu sampai depan rumah. Mana mampu jalan kaki untuk itu semua.

Maka semua pembangunan hanya diambil kira kepantasan untuk semua orang kecuali pejalan kaki.

Malangnya pejalan kaki ..

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Pembangunan di mana pejalan kaki tidak dialu-alukan - Pekan Penanti Bukit Mertajam

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !