Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Sunday, October 29, 2023

Kenapa orang yang hidup sihat dan cergas tapi mati mengejut adalah satu anugerah terbaik

  Mohd Shubhi       Sunday, October 29, 2023


Setiap pagi saya pusing taman permainan tak jauh dari rumah. Dah berpuluh tahun sejak hari pertama saya tinggal di taman tersebut.

Setelah begitu lama ulang buat perkara sama, awal tahun ini tergerak untuk ubah laluan. Saya mula panaskan badan dan buat senaman regangan di taman biasa, selepas itu mula bergerak pusing taman permainan, keluar ke jalan lingkaran luar taman untuk buat satu pusingan.

Laluan baru ini ternyata lebih menarik dan tidak pernah membosankan. Betullah kata orang tua, jauh perjalanan, luas pemandangan. Banyak yang berlaku dapat dilihat setiap kali melalui jalan baru ini.

Di depan bersebelahan jalan utama, ada satu deretan kedai 2 tingkat yang suram ketika waktu awal saya berpindah ke taman perumahan tersebut. Tapi sekarang semua kedai dah penuh berniaga. Di hujung sekali deretan kedai itu, dibuka sebuah pusat kumpul dan hantar barang.

Setiap pagi, lori akan sampai di kedai itu, satu longgokan penuh barang yang dibeli secara online perlu diedarkan untuk hari itu. Ada ramai anak-anak muda dan beberapa orang yang lebih berumur mula menyemak setiap barang satu persatu. Masing-masing akan ambil task penghantaran mereka hari itu. 

Setiap pekerja yang saya yakin semuanya adalah pekerja sambilan, akan cari sendiri, kumpulkan, masukkan dalam kenderaan sendiri dan pergi buat penghantaran. Satu model kerja yang menarik dan nampaknya sangat produktif.

Pencen tapi masih perlu cari duit

Dalam ramai-ramai pekerja hantar barang tu, ada seorang yang lebih berumur setiap pagi kelihatan amat asyik sekali mengelas barangnya. 

Cara dia angkat spek mata bubuh atas dahi setiap kali membaca dokumen senarai barang, sudah jelas memberi isyarat yang dia dah lebih 40 tahun. Itu umur permulaan akan berlaku masalah rabun dekat.

"Assalamu'alaikom Sheikh!" sapa abang tu pada saya setiap kali brisk walk depan kedai tu.

Itu beza orang yang dah lama hidup dan penuhkan hidupnya dengan pergaulan sesama manusia lain. Dia mudah memulakan perhubungan tanpa ada perasaan segan atau malu kucing. Lebih lagi jika dilihat orang lain adalah seusia dengan dirinya. 

Cukup untuk sekadar persamaan zaman menjadi motivasi timbulnya perasaan adanya satu kesamaan. Itu yang membuatkan dia terus tegur saya macam dah lama kenal. Saya juga rasa selesa dengan keceriaannya setiap pagi.

Setiap kali lalu di situ, dia akan tegur sahaja sehinggalah baru-baru ini, dia berikan salam dan bergerak laju mendekati saya ketika lalu di situ. Nampak macam isyarat ada sesuatu yang mahu dicakapkan. Saya perlahankan sikit tunggu dia hampiri.

"Sheikh umur dah berapa", itu soalannya. 

"Tahun 1968", jawab saya ringkas.

Dia faham maksud saya dan jawab yang dia tahun 1967. Ertinya umurnya lebih tua setahun dari saya. Ingatkan dia lebih muda. Sebab gaya, rambut yang masih hitam, penuh dan kulit yang masih tegang membuatkan dia kelihatan masih muda. Hanya badannya saja agak lebih gempal.

Itu perbualan pertama kami berkenalan setelah hampir satu tahun hanya lalu, senyum atau berikan salam saja.

Hari ini, sekali lagi dia berikan salam dan bergegas menghampiri saya. Nak berbual lah tu. Lalu saya berhenti sebentar dan matikan dulu timer yang saya buka setiap kali bersenam. Nak tambahkan lagi maklumat kenalan baru tu.

Kami berbual pasal anak, kerja dan kehidupan. Dia masih perlu kerja sebab ada lagi 3 orang anak masih bersekolah. Samalah macam saya, masih ada 2 yang bersekolah. Kami lebih kurang sama saja keadaannya, perlu hidup dan berusaha cari rezeki untuk semua tanggungan yang ada. Selagi hidup, selagi itulah perlu ditanggung semua urusan dan komitmen tersebut.

Sebab itu saya usaha jaga kesihatan agar dapat digunakan dengan baik untuk tunaikan tanggung jawab. Kata saya padanya. Dia kongsikan dirinya yang ada masalah darah tinggi, kolesterol tinggi dan prostate. Itu masalah lazim ada pada golongan sama umur macam kami.

Dia bersetuju tapi berpendapat sihat dan cergas pun ada yang tiba-tiba mati mengejut. Tak panjang umur juga sekalipun jaga kesihatan.

Lalu saya jawab, Alhamdulillah hidup sihat dan cergas kemudian mati mengejut. Itu adalah anugerah yang baik, nikmat yang terlalu tinggi yang Tuhan berikan.

Dia mengerutkan dahinya .. tanda tak faham kenapa saya berpendapat begitu.

Sihat cergas mati mengejut

Orang yang ketika hidupnya sihat dan cergas, berupaya menunaikan tanggung jawabnya dengan baik. Dia dapat berusaha mencari rezeki dengan kesihatannya itu dalam apa saja kerja. Samada kerja yang memerlukan tenaga mahupun kerja yang yang perlukan kecerdasan akal.

Orang yang sihat biasanya akalnya juga sihat, insyaallah. Tak kisah sama dia kerja bagus atau tidak, yang pentingnya dia mampu berusaha sepenuh tenaga yang ada yang sudah tentu jauh lebih baik dari mereka yang asyik tak sihat lemah dan tidak cergas.

Orang sihat mampu buat kebaikan kepada semua orang. Dapat bantu orang susah, orang sakit dan sebagainya. Itu satu kehidupan yang baik. Dia banyak mendatangkan manfaat kepada orang semasa hidupnya.

Kemudian jika dia ditakdirkan jatuh mati dalam keadaan tubuh badannya yang masih sihat, dia tidak menyusahkan sanak saudara atau keluarganya. Mereka tak perlu menjaga dia dalam keadaan sakit dalam masa yang panjang berbanding jika orang yang tidak sihat tapi masih kekal bernyawa. Itu menyusahkan semua orang dan menghabiskan banyak tenaga dan harta.

Ertinya, bukan saja orang sihat berikan kebaikan semasa hayatnya, malah ketika matinya juga memberikan kebaikan kepada semua orang.

Apa lagi nikmat yang manusia mahukan selain dari hidup dan matinya memberikan kebaikan?

Itulah yang saya terangkan kepada kawan baru saya itu.

Dia mula mengangguk tanda faham lalu mendiamkan diri sambil melihat saya sambung semula usaha saya menjaga kesihatan dengan bersenam setiap pagi.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Kenapa orang yang hidup sihat dan cergas tapi mati mengejut adalah satu anugerah terbaik

Previous
« Prev Post

4 comments:

  1. Hidup satu perjuangan....berjuang untuk memberi manfaat kepada insan lain sambil mengumpul pahala untuk di bawa mati

    ReplyDelete
  2. Niatkan dlm hati, hidup biar bermanfaat, memudah dan menyenangkan yg lain, ada sumbangan pg org lain dan msykt, walau kecil, walau sedikit, jgn sampai menyulitkan, menyusahkan org lain. Mati mudah, mudah mudahan juga tidak menyusahkan org lain.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Insyaallah! terima kasih atas pedoman. Akan cuba diusahakan

      Delete

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !