Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Wednesday, June 4, 2008

Nasihat Mr Kuek

  Mohd Shubhi       Wednesday, June 4, 2008
Semasa ke masjid untuk solat zohor hari ini saya terlihat seorang pakcik yang nampak lumpuh sebelah badannya. Dia masih mampu berjalan sendiri secara perlahan-lahan dengan menggunakan tongkat. Ketika melihat pakcik tersebut fikiran saya teringatkan seorang kenalan saya yang berbangsa cina 3 tahun lepas. Namanya Mr. Kuek.

Mr. Kuek mengalami masalah yang sama iaitu lumpuh separuh dari anggotanya akibat terkena strok. Melalui latihan di pusat rehabilitasi pesakit strok dan dengan semangat yang tinggi untuk tidak menyerah kalah dia akhirnya dapat juga berdikari dengan bantuan tongkat.

Saya mengenalinya melalui seorang sahabat yang meminta saya berjumpa dengan Mr. Kuek 3 tahun lepas. Mr Kuek mempunyai sebuah kilang membuat tisu yang terletak di kawasan perindustrian puchong.

Perniagaannya tidak berapa memberansangkan dan dia mempunyai banyak stok tisu yang tidak terjual. Saya dibawa melihat kilangnya. Cuma tinggal seorang pekerja berbangsa Bangladesh bernama Kabir yang mengendalikan mesin membuat tisu.

Di dalam kilang saya melihat bertimbun-timbun kotak tisu yang tidak terjual. Setelah berbincang dengan Mr Kuek, saya bersetuju untuk menolongnya menjual semua stok tisu-tisunya. Jika saya berjaya, dia meminta saya mengambil alih kilang tisunya itu.

Saya mula menghubungi kawan-kawan dan memulakan aktiviti market survey. Dengan kepakaran masing-masing saya berjaya menghabiskan semua stok tisunya dalam masa tak sampai sebulan.

Melalui projek jual tisu itu juga lahirlah satu syarikat yang sehingga kini meneruskan aktiviti perniagaan pengedaran barang-barang retoran seperti tisu, pembalut nasi lemak, beg plastik dan lain-lain.

Seminggu sekali saya akan berjumpa dengan Mr Kuek untuk berbincang. Dalam perjumpaan itu saya dapat mencungkil sejarah Mr Kuek sebelum dia terkena strok. Mr Kuek sebenarnya seorang yang kaya-raya.

Dia pernah satu ketika mempunyai sehingga 5 buah kapal pengankutan laut. Banyak lagi perniagaan lain yang di ceburinya. Dia pada asalnya merupakan seorang pegawai bank.

Demi mengejar impiannya menjadi seorang jutawan dia menceburkan diri dalam dunia perniagaan. Dia bekerja keras siang dan malam tanpa mengira penat sehinggalah dia akhirnya berjaya.

Perniagaan semakin maju sehinggalah satu hari secara tiba-tiba strok datang meminang. Pada ketika itu dia tidak dapat menolaknya. Habis segala wang ringgitnya digunakan untuk mengobati penyakitnya.

Pernah dia hampir putus asa untuk hidup. Wang ringgit yang dikejarnya selama ini menjadi tidak berguna lagi. Dia hilang satu nikmat hidup yang amat berharga iaitu kesihatan. Dia mula menyesali kesilapannya selama ini.

Ketika sakit dia teringatkan ibunya yang telah meninggal. Ketika ibunya hidup dia hampir tidak pernah menziarahi ibunya di Johor. Alasannya ialah terlalu sibuk mengejar cita-cita. Kini dia sedar apa erti kebahagiaan namun apakan daya nasi sudah menjadi bubur.

Suatu ketika kami minum di sebuah kedai dalam subang parade, Mr Kuek bertanya pada saya, "Shubhi masih mempunyai emak kah ?", saya menjawab "ada, dia tinggal di Pulau Pinang".

Kata Mr Kuek lagi, " seandainya emak saya masih hidup, saya akan pastikan saya memandu setiap hujung minggu pulang ke Johor semata-mata hanya untuk melihat wajahnya". Saya melihat air mata bergenang di mata Mr Kuek.

Saya juga hampir menitiskan air mata mendengarkan kata-kata Mr Kuek itu, wajah ibu saya terbayang di mata.

"Shubhi jangan lupa ziarah ibu selalu sementara dia masih ada, nanti menyesal macam saya tak guna" sambung Mr Kuek lagi. Saya menganguk. Memang dalam hati saya berazam untuk selalu menziarahi ibu.

Sebelum beredar Mr Kuek berkata pada saya, "remember shubhi, you don't need 1 million to be happy, jaga kesihatan, ziarah ibu".

Saya menerima nasihat itu walaupun dia seorang cina bukan muslim, sebagai seorang islam saya tahu semua itu namun tidak dapat menghayatinya, Mr Kuek membuka penghayatan itu. Segala puji bagi Allah menemukan saya dengan Mr Kuek.

Sehingga kini saya akan tersenyum puas setiap kali pulang ke Pulau Pinang semata-mata untuk menatap wajah ibu. Ya Allah rahmatilah kedua ibu bapaku, ampunilah segala dosa mereka, masukkan mereka bersama golongan orang-orang yang engkau redhai.

Amin.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Nasihat Mr Kuek

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !