Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Monday, May 4, 2009

Kepimpinan Ulama

  Mohd Shubhi       Monday, May 4, 2009

Isu yang amat riuh sekali diperkatakan sempena Muktamar PAS yang akan berlansung bulan Jun ini adalah bagaimana merealisasikan dasar Kepimpinan Ulama.

1. Satu pendapat mengatakan dasar itu harus diterjemahkan dalam memastikan orang no. 1 dan no. 2 Parti mestilah di kalangan ulama. Ini tidak dapat tidak membawa rentetan kepada perlunya jawatan no. 1 dan no. 2 di peringkat bawahan di isi oleh para ulama atau sekurang-kurangnya Ustaz atau Lebai yang mendapat pendidikan asa dalam bidang agama. Juga bermakna para perwakilan yang akan membuat pemilihan perlulah dikalangan mereka yang beraliran pendidikan ulama, iaitu para ustaz-ustaz dan seumpamanya.

2. Satu pendapat lagi mengatakan bahawa yang dikatakan kepimpinan ulama ialah segala dasar dan perlaksanaan parti adalah di bawah seliaan dan kawalan ulama, mesti mendapat restu dan kata putus ulama dalam segala hal. Siapa saja yang naik menjadi pemimpin wajib akur pada pimpinan badan ulama atau Majlis Syura Ulamak dan pimpinan nombor satu sebenarnya adalah Mursyidul Am PAS. Dalam hal ini sesiapa sahaja boleh menjadi pemimpin no 1 dan no 2 parti samada dari para profesional atau dari para ulama. Ini membawa kepada pilihan pemimpin yang lebih luas dan menyeluruh dan tak terbatas kepada para ulama sahaja.

Jika kita pandang dari sudut memartabatkan para Ulama, maka sudah tentu pilihan pertama lebih baik dari pilihan kedua. Dengan meletakkan kriteria pemimpin no. 1 dan no. 2 mesti di kalangan ulama secara lansung ia menjadi jawatan esklusif hanya pada ulama. Harapannya ialah ini dapat menggalakkan kemunculan lebih ramai lagi mereka yang condong kepada bidang ilmu agama.

Bagi mereka yang profesional, harapan menjadi pemimpin yang paling tinggi adalah setakat orang no 3 parti atau mungkin lebih rendah lagi. Kalau nak pergi lebih jauh lagi terpaksa mendalami ilmu agama agar dapat status ulama.

Para ustaz juga terpaksa memainkan peranan sebagai pemimpin di segenap kampung dan desa. Menjadi pusat aduan, khidmat nasihat dan penggerak aktiviti kemasyarakatan.

Para ustaz juga mesti mampu bergaul dengan semua wakil masyarakat, kutu lepak, mat rock, mat rempit, bohsia, bohjan, mat bunga, gengster, artis, penagih, kaki sukan dan lain-lain lagi. Ini perlu agar dapat memahami keperluan mereka tersebut bagi merencanakan program untuk mereka agar kembali kepada kebenaran.

Para ustaz juga mesti berusaha mereka dihormati dan di pandang tinggi dan senang didekati oleh segenap lapisan masyarakat. Ini bagi memudahkan mereka menguruskan hal ehwal kepimpinan.

Para ustaz mesti pandai menujuk para profesional agar sentiasa bekerja di bawahnya dan sentiasa menanam kepercayaan pada para profesional bahawa mereka tetap menjadi pemimpin walaupun mereka hanya sekadar memimpin keluarga mereka sahaja. Hal ehwal kepimpinan masyarakat biarlah para ulama sahaja yang mengetuainya kerana mereka lebih arif keperluan dunia dan akhirat dan hal ehwal keduniaan bolehlah para profesional yang mengendalikannya kerana mereka hanya arif hal ehwal keduniaan dan kurang arif hal ehwal akhirat.

Generasi yang seterusnya akan mula memastikan anak-anak mereka juga menjadi pakar dalam ilmu agama selain pakar dalam bidang keprofesionalan. Ini dapat menghasilkan umat Islam yang lebih menyeluruh. Barulah kita tidak memisahkan antara agama dan dunia, antara Ulama da Profesional kerana mereka telah menjadi satu.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Kepimpinan Ulama

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !