Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Saturday, July 7, 2018

Kat mana nak beli HiFi berkualiti tinggi sekarang kat Malaysia

  Mohd Shubhi       Saturday, July 7, 2018



Pernah dengar perkataan HiFi?

Saya tak pasti bagaimana dengan anak-anak muda sekarang. Samada mereka biasa atau tidak dengan perkataan HiFi. Tapi kalau perkataan WiFi, sudah tentu ia bukan lagi perkataan asing buat mereka. Budak sekolah rendah pun tahu pasal WiFi.

Bagi warga yang seangkatan dengan saya yang berumur dalam lingkungan 50-an atau muda sedikit, tentu masih ingat dengan perkataan HiFi ni. Terutamanya buat mereka yang ada minat terhadap industri musik atau bunyi-bunyian.

Semuanya bermula dengan Mini Compo

Kalau anda tak ingat dengan perkataan HiFi, anda tentu ingat dengan perkataan Mini Compo.

Mini Compo merupakan perkataan awal yang saya kenal masa zaman remaja dahulu. Semuanya bermula dengan seorang kawan yang ajak pergi ke rumahnya di kampung dulu. Dia nak tunjukkan sejenis radio yang luar biasa bunyinya pada saya.

Saya naik ke atas rumahnya dan kelihatan sebiji radio berwarna perak berkilau. Sekali lihat saya kenal itu sejenis radio. Tapi itu bukan sebuah radio biasa-biasa. Sebaik saja duduk bersila mengadap radio itu, kawan saya itu terus masukkan kaset dan tekan Play.

Saya tak ingat lagi lagu apa dia pasang, tapi saya ternganga sebaik saja mula mendengar kesedapan bunyi yang dikeluarkan oleh radio tersebut. Ada dua kotak speaker di kiri kanan radio itu dengan setiap kotak ada dua bahagian hitam penuh lubang kecil. Satu kecil diatasnya yang keluarkan bunyi gemersik. Dan satu lagi lebih besar lagi mengeluarkan bunyi base yang mantap.

"In mini compo!", terang kawan saya.

"Abang aku baru beli", terang kawan saya lagi.

"Bunyi kuat macam speaker kat rumah kenduri", terpancul ayat kagum keluar dari mulut saya.

Kawan saya terangkan betapa mini compo itu mampu mengeluarkan bunyi yang hebat dan tidak pecah serta bingit. Semua bunyinya boleh di-adjust. Siap ada lampu naik dan turun mengikuti rentak musik yang dikeluarkan oleh mini compo itu.

Buat mini compo sendiri

Sejak itu saya mengidam untuk memiliki sebuah mini compo sama seperti kawan saya itu. Dan memang itu satu impian yang hampir mustahil dengan kedudukan ekonomi keluarga saya ketika itu. Ketika itu jenama dari Jepun menguasai pasaran mini compo.

Kat rumah saya ada sebuah radio lama. Mak selalu dengar radio itu bila duduk kat rumah. Sebaik saja dia selesai solat subuh samada buat kat rumah atau setelah pulang dari masjid. Dia akan pasang radio itu setiap kali mula buat kerja menguruskan rumah.

Awal pagi dipenuhi dengan nasihat agama dicorong radio. Bila hari dah terang akan ada juruhebah mula memainkan peranannya menghiburkan pendengar, memberikan maklumat dan menyebarkan segala berita terkini yang berlaku diseluruh negara.

Antara siri yang tak pernah saya lupa adalah siri pahlawan cangkul. Lagunya masih segar bermain di dalam ingatan saya. Itu siri yang menggalakkan rakyat berbakti pada bumi dengan berkebun.

Radio yang mak ada itu hanya ada satu speaker saja. Dan sudah tentu bunyinya tak boleh nak lawan dengan mni compo yang kawan saya perdengarkan pada saya kat atas tadi. Saya mula terfikir macam mana nak tukar supaya bunyi radio mak tu macam mini compo!.

Buat speaker dari tin milo

Saya mula kumpul speaker lama yang saya jumpa. Ada yang besar dan ada yang kecil. Kat mana saja saya tengok orang abaikan speaker yang ada kat rumah mereka saya akan cuba kecek untuk dapatkannya. Saya dah mula pandai buat ujian untuk ketahui macam mana nak tahu ianya masih berfungsi atau tidak. Hanya perlu ada dua wayar.

Saya proses radio mak sampai terbuka ruang yang tutup speakernya. Sambung wayar pada dua wayar speaker itu terus kepada speaker yang saya nak uji. Saya mula dapat bezakan kualiti bunyi yang dikeluarkan oleh koleksi speaker yang saya jumpa.

Satu hari saya terlihat tin kosong bekas milo dan susu tepung yang orang buang kat tempat buang sampah. Saya kutip tin kosong itu dan bawa balik. Bila diukur, saiznya muat salah satu dari speaker yang saya ada.

Saya mula tebuk punggung tin kosong itu dengan paku satu lubang demi satu lubang. Mak hairan dengan kesibukan saya menebuk lubang ada tin kosong itu. Tapi dia biarkan saja saya dengan kesibukan itu.

Akhirnya terbentuklah tin kosong yang punggungnya dipenuhi dengan lubang-lubang kecil. Pada penutup tin kosong itu pula saya tebuk hanya satu lubang. Saya masukkan wayar melaluinya dan didalam tin kosong itu saya masukkan speaker. Bila disambung kepada speaker radio mak tadi, keluarlah bunyi yang tak kurang hebatnya dari speaker tin milo kosong yang saya buat sendiri.

Itulah speaker mini kompo yang sya buat sendiri.

Saya buat macam-macam percubaan selepas itu. Saya buka belakang speaker lama yang orang buang dan saya dapati di dalamnya ada disalut dengan fibre glass di seluruh dinding. Saya ambil fibre glass yang miang itu dan buat pada speaker tin milo saya.

Walaupun masih tak puas hati dengan bunyi yang ada, ianya sudah cukup bagus buat diri saya yang serba kekurangan ketika itu.

Beli HiFi pertama di Perancis

Bila saya pergi ke Perancis, tak tunggu lama untuk saya berjimat cermat dan himpun duit untuk beli sebuah HiFi idaman.

Bila dah ada duit, saya beli HiFi pertama saya dari jenama Kenwood. Masa zaman itu ramai pelajar luar negara yang memang gilakan sistem HiFi. Antara jenama kegilaan ketika itu adalah Nakamichi. Saya pilih Kenwood bila tengok seorang kawan beli jenama yang sama dan bunyinya mampu membuatkan saya meleleh air liur.

Kalau kawan-kawan habiskan duit lagi dengan mula membeli kaset dan piring hitam. Saya sudah berpuas hati sekadar mendengar radio sahaja. Kaset kosong saya beli dan merakamkan semua lagu rock kegemaran dari kawan-kawan yang punya banyak koleksi.

Selepas balik dari Perancis, kegilaan terhadap HiFi sudah pudar. Kenwood itu masih ada kat rumah orang tua dan tersadai kat atas rumah.

Tergerak nak beli HiFi

Baru-baru ini entah kenapa saya tergerak nak beli Hifi pulak. Setelah terlalu lama tak fikirkan pasal bunyian, hanya berpuas hati layan bunyi radio di dalam kereta, saya teringat nak beli sebuah HiFi atau Mini Compo untuk diletakkan di rumah yang kosong tak ada TV ataupun Radio.

Bila saya Google cari perkataan HiFi kat Malaysia tak bayak sangat pilihan yang ada. Saya terjumpa tawaran mini HiFi dari jenama Yamaha. Nampak macam cantik dan menarik.

Satu hari saya singgah ke pusat Yamaha di Kelana Jaya. Bila tanya pasal sistem audio, dia kata semuanya dah diserahkan kepada Harvey Norman. Saya perlu ke pusat Harvey Norman kalau nak beli apa-apa sistem keluaran Yamaha.

Kemudiannya saya singgah ke Best Denki Malaysia di Subang Parade. Nak tengok kalau-kalau ada tawaran mini compo atau mini HiFi yang menarik. Dan jen jeng jeng...

Ada sebuah Mini HiFi Yamaha yang memang amat mini mahu dijual murah-murah untuk penghabisan stok. Dari harga seribu lebih hanya tinggal RM600 sahaja lebih kurang. Saya terus minta cuba dengar bunyinya.

Bila dia lasang CD, sekali bunyinya macam tak percaya. Dia buka habis kuatpun lansung tak pecah. Bunyi keluar sebiji-sebiji macam dengar Live!. Saya tak cakap banyak terus beli dan bawa balik. Rupa-rupanya, orang rumah juga minat, anak-anak juga minat.

Macam biasa, suara juruhebah radio mula berkumandang semula kat dalam rumah tu... tapi sdah tak ada kedengaran lagu pahlawan cangkul lagi sekarang.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Kat mana nak beli HiFi berkualiti tinggi sekarang kat Malaysia

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !