Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Thursday, July 5, 2018

Peguam Negara Tommy Thomas contoh polisi Bahasa Melayu yang gagal di negara kita

  Mohd Shubhi       Thursday, July 5, 2018



Tommy Thomas dilantik sebagai peguam negara. Masa perlantikannya dah timbul sedikit isu kelewatan. Macam-macam spekulasi muncul berikutan kelewatan persetujuan terhadap perlantikannya.

Antara spekulasinya adalah pasal Tommy Thomas bukan seorang Melayu yang beragama Islam. Sebab itu perlantikannya tidak direstui oleh pihak yang berkepentingan. Sampai ada perumpamaan lawak yang dibuat oleh seseorang berkaitan dengan isu tersebut.

Elok juga kita sebut perumpamaan lawak itu...

Kononnya sebuah Madrasah mahu melantik seorang yang baik, berintegriti, suka bantu orang dan macam-macam akhlak yang mulia lagi sebagai seorang pengerusi Madrasah. Orang ramai dah teruja mahu mendapatkan khidmat seorang pengerusi yang hebat itu.

Tapi malangnya, dalam semua kebaikan yang calon itu ada, dia seorang non-muslim !

Itulah yang cuba digambarkan situasi perlantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara yag nampaknya tak relevan.

Tommy juga digambarkan sebagai seorang yang anuti fahaman sekular tegar yang amat sangat. Banyak buku tulisannya menggambarkan sikap sekularnya itu. Sikap tidak mahu urusan agama dikaitkan dengan pengurusan dan mentadbiran negara.

Bagi yang perjuangkan Islam mungkin tak sedar bahawa dalam masalah perundangan sikap sekular memang tidak menghairankan. Puncanya adalah semua agama kat atas muka bumi ini kata agama dia betul dan agama orang lain salah. Bila pusing habis semua, akhirnya, tidak ada agama yang betul.

Jadi kalau sikap atau emosi itu dimasukkan ke dalam perundangan, pengaruh agama akan mempengaruhi keputusan dan tidak akan ada jalan penyelesaian bila terdapat perbezaan agama berlaku dalam perbicaraan.

Tommy Thomas tak reti Bahasa Melayu

Dalam banyak spekulasi yang timbul, masalah Tommy Thomas yang tak reti cakap Bahasa Melayu juga amat panas. Dan Tommy sendiri mengaku yang dia tak fasih cakap Bahasa Melayu.

Saya tak pasti tak reti peguam negara itu setakat mana. Adakah dia amat mangkaq sampai tak boleh bertutur dan berbalas cakap dengan saya kalau saya cakap Melayu atau dia sekadar faham tapi tak boleh nak atur ayat balas balik dalam Bahasa Melayu.

Setakat mana levelnya, saya tak pasti tapi pastinya dia lebih selesa dan berkeyakinan berbahasa Inggeris berbanding Bahasa Melayu. Bukan dia seorang sahaja yang jadi macam itu, ramai lagi yang selesa cakap orang putih dan abaikan lansung cakap melayu.

Cuba pergi cakap melayu dengan Tony Fernandez, pengasas AirAsia yang bila cakap Bahasa Inggeris kedengaran seperti seorang lelaki dari UK itu. Kalau anda tak tengok gambar dia, cakap dari corong telefon saja, tentu anda akan sangka dia Mat Saleh dari London.

Tetap berjaya tanpa Bahasa Melayu

Itu cuma contoh 2 orang warganegara kita yang naik ke kedudukan tertinggi walaupun dalam keadaan tidak memperdulikan Bahasa Kebangsaan, Bahasa Melayu. Mereka tak perlu kuasai Bahasa melayu untuk berjaya, malah kelebihan berbahasa inggeris yang mereka ada itulah yang melonjakkan martabat mereka ke peringkat tertinggi di negara kita.

Dan dalam masa yang sama, semua orang tahu Bahasa Kebangsaan adalah bahasa rasmi negara kita dan semua urusan rasmi negara adalah dalam bahasa Melayu, semua bahasa pengantar rasmi persekolahan adalah dalam Bahasa Melayu.

Bahasa Rasmi dan pengiktirafan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsana hanyalah sekadar atas kertas. Macam main masak-masak sahaja. Dan semua orang yang terlibat dalam dunia ekonomi, dunia profesional dan dunia pentadbiran tahu Bahasa Melayu adalah seperti sampah saja martabatnya dan kelebihan seseorang untuk menguasai Bahasa itu tiada apa-apa makna.

Kalau anda pernah kerja kilang atau pernah temuduga untuk minta kerja kilang tentu tahu dan ada pengalaman tentang perkara ini. Semuanya dilakukan dalam Bahasa Inggeris untuk jawatan pengurusan. Jawatan penyelia sahaja sudah cukup untuk anda ditemuduga dalam Bahasa Inggeris.

Kalau jawatan operator pengeluaran untuk buat kerja rutin tidak bernilai tinggi yang tak pakai otak sangat, anda akan ditemuduga dalam Bahasa Melayu. Itulah kerendahan Bahasa Melayu dalam dunia sebenar di negara kita.

Bahasa Melayu seronok atas kertas saja

Semua ini berlarutan sejak kerajaan dengan bangganya istiharkan atas kertas martabat Bahasa Melayu, ubah semua sistem peperiksaan dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu dan semua budak sekolah mula persetankan Bahasa Inggeris hasil dari tindakan tersebut.

Tindakan tersebut yang tidak diiringi ketegasan terhadap penggunaan Bahasa Melayu ke peringkat selanjutnya sperti ekonomi, industri, pentadbiran dan lain-lain lagi akhirnya membina pentas yang tidak sama rata antara orang Melayu dengan orang bukan Melayu.

Lahirlah orang-orang seperti Tommy Thomas, Tony Fernandez yang lansung tak tergugat dan tak kisah untuk cakap melayu sebab mereka sendiri boleh lihat ianya adalah Bahasa yang tak berapa berguna dan tidak akan menghalang anda untuk naik ke peringkat tertinggi di Malaysia.

Hanya ada dua pilihan. Tegas dengan penggunaan Bahasa Melayu tanpa kompromi. Atau masukkan semula Bahasa Inggeris ke dalam sistem pendidikan negara sebagai Bahasa Pengantar utama dan jadikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kebangsaan sama taraf dengan Bahasa Melayu.

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Peguam Negara Tommy Thomas contoh polisi Bahasa Melayu yang gagal di negara kita

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !