Jas-du-it

Jasduit - Just do it !

Monday, August 19, 2019

Diuji pemandu tua tidak sihat di Taipan - Ternyata gagal dalam ujian !

  Mohd Shubhi       Monday, August 19, 2019

Hari ahad pagi saya satu keluarga keluar rumah untuk sarapan macam biasa. Itu satu-satunya hari di mana kami sekeluarga akan sarapan kat luar.

Biasanya kami sarapan kat kedai mamak saja. Pantas dan selesa.

Sekarang lebih selesa sarapan kat kedai mamak. Sejak kerajaan haramkan merokok dalam semua premis kedai makan, tak ada lagi asap berkepul naik memenuhi ruang udara kedai.

Rakyat Malaysia, walaupun ada yang rasa terkilan dengan pengharaman merokok di premis makan, rata-rata, majoriti rakyat Malaysia akur dengan larangan tersebut.

Kagum bila tengok anak muda, juga orang tua. Bangun dari tempat duduk, pergi keluar jauh lebih 3 meter dari premis kedai untuk lepaskan rasa gian merokok mereka kat luar sana.

Tengok rakyat Malaysia yang ramai patuh dengan keputusan kementerian kesihatan itu, memberikan harapan tinggi untuk melihat negara berubah menjadi negara yang lebih baik dari yang ada sekarang. Secara umumnya, orang Malaysia, baik bangsa apa sekalipun, tahu menghormati orang lain.

Ketika masuk ke dalam kereta, orang rumah dan anak-anak ajak sarapan Subway. Lama tak makan sandwich banyak sayur kat subway tu, kata mereka.

Saya tanpa bantah setuju saja. Terus pandu kereta menuju ke Taipan. Subway kat situ selesa dan biasanya sentiasa ada ruang untuk kami sekeluarga duduk makan menikmati sandwich dalam kedai tu.

Kereta terhegeh-hegeh cuba parkir

Walaupun hari ahad, Taipan kat USJ tu sentiasa banyak kenderaan. Semua orang nak sarapan kat luar di pagi ahad agaknya. Santai dan semua pejabat tak buka. Jadi jika kereta bergerak perlahan, itu perkara biasa.

Asalkan bergerak, ok saja. Tak ada apa yang nak di kejarkan pagi ahad tu.

Bila nak masuk ke simpang kat OUB saya terpaksa berhenti. Ada kereta yang sedang cuba parkir kat tepi tu. Dia keluar masuk dan keluar dan masuk. Lama dia buat macam tu. Saya tak nampak siapa di dalamnya.

Lama dan sabar menunggu tanpa sebarang tekanan. Kereta kat belakang dah mula beratur nampaknya. Akhirnya kereta tu tak jadi nak parkir kat tepi tu. Ternyata dia macam tak cekap bawa kereta tu.

Dia bergerak perlahan ke depan. Sangat perlahan. Masih mencari parkir nampaknya. Saya relak saja ikut di belakangnya sebab saya juga sedang cari tempat kosong.

Kereta itu belok ke kiri. Berhenti dan cuba undur. Ada satu ruang kosong kat depan Kedai Makan Oldtown tu. Mudah sangat untuk masuk ke dalam ruang kosong tu dan letakkan kereta di situ.

Tapi nampaknya kereta tadi masih terkial-kial cuba berkali-kali nak masuk tak boleh-boleh. Ke depan, ke belakang dan keluar semula ke depan, kona undur ke depan dan kona ke belakang.

Itu luar biasa!

Sifat baran mula berputik dalam jiwa. Terlalu lama sangat dan dah masuk kali kedua terpaksa tunggu dan tunggu dalam masa yang terlalu lama. Dengan spontan, saya tekan hon !.

Kereta tu nampak macam terkejut. Brek secara tiba-tiba sebaik saja saya hon. Memang sah dia ada masalah memandu kenderaan itu. Apa masalah dia sebenarnya, saya tak pasti.

Akhirnya dia berjaya juga masuk.

Saya terus gerak ke depan masih mencari ruang kosong. Dah tak ada parkir yang kosong nampaknya. Saya terus dan berpusing jauh untuk cari lagi peluang lain. Bila pusing dari jauh, saya kerling kereta yang terkial-kial tadi.

Alamak!

Kelihatan seorang lelaki tua kurus keluar dipimpin oleh wanita tua yang saya kira isterinya.

Lelaki itu terketar-ketar bangun dan keluar dari kereta. Berjalan kaki perlahan-lahan dibantu oleh isterinya. Cina pemandu kereta itu seorang lelaki tua yang nampaknya memang tidak berapa sihat. Mungkin ada masalah kesihatan, sakit badan atau sakit tua.

Rasa bersalah menjalar ke seluruh badan.

Baru sedar betapa saya gagal dalam ujian yang sangat mudah itu. Bayangkan jika panjang umur, ada kemungkinan saya juga akan terpaksa hadapi keadaan yang sama. Sedih tengok isteri tuanya tabah pimpin suami nya yang amat lemah.

Saya dah guris hati manusia lain yang lemah yang sepatutnya diberikan pertolongan. Bukannya di marah dan di kejutkan dengan bunyi hon kereta.

Entah-entah mereka terpaksa keluar untuk ke kedai ubat. Atau terlalu lapar dan nak cari makan pagi. Usaha mereka, susah payah mereka tiada siapa yang faham kecuali mereka. Apa pilihan yang mereka ada?

Cuba cari untuk mohon maaf

Bila saya dah berjaya dapatkan tempat parkir kerete, agak jauh dari kedai tujuan saya, saya terus bergegas pergi cari balik pasangan tua lemah tersebut. Saya perlu mohon maaf. Nyatakan rasa salah saya supaya hati mereka tidak tergores.

Puas saya cari tapi tak jumpa ...

Itu pengajaran buat saya.

Kawal diri. Cuba lihat, fahami keadaan dan banyaklah bersabar dalam kehidupan.

Kalau nak cari salah orang tua tu memang pasti ada. Kenapa mereka masih degil nak memandu keluar pekan dalam keadaan macam tu. Bukankah hanya menyusahkan diri sendiri dan orang lain.

Tapi itu bukan cara terbaik membaca apa yang berlaku di depan mata. Ada banyak lagi sudut yang boleh dilihat dan diambil kira. Yang pastinya itu ujian buat diri sendiri. Saya ternyata gagal dalm ujian yang sangat mudah itu...

Untuk orang tua tersebut, sekali dengan isterinya. Saya mohon maaf banyak-banyak !

logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Diuji pemandu tua tidak sihat di Taipan - Ternyata gagal dalam ujian !

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment

Segala komen pembaca amat dihargai, tapi mohon komen dengan berhemah ya ! Terima Kasih !